ISL Minggu 5: Falsafah Pendidikan Kebangsaan.


Pelajar dikehendaki menulis secara ringkas mengenai falsafah pendidikan mereka sendiri.Penulisan itu harus mengandungi tujuan pendidikan, kehendak masyarakat, kehendak pelajar dan peranan guru.

Falsafah pendidikan penting dalam menentukan hala tuju pendidikan sesuatu negara. Falsafah merupakan pemikiran secara bersungguh-sungguh, tidak terikat dengan tradisi dan mempunyai ciri-ciri sistematik, radikal dan sejagat dalam mendalami ilmu pengetahuan yang merangkumi pencapaian kebenaran. Pendidikan pula merupakan satu proses menyeluruh yang bertujuan untuk memperkembangkan kebolehan dan tingkah laku manusia yang diinstitusikan oleh sekolah. Terdapat tiga aliran utama falsafah pendidikan iaitu falsafah Barat, Timur dan Islam yang dipelopori oleh tokoh-tokoh pemikir tertentu dan menjadi asas kepada falsafah pendidikan yang diamalkan di negara kita. Falsafah pendidikan amat penting untuk difahami dan dihayati supaya objektif pelaksanaannya tercapai serta mengikut landasan yang betul. Sekiranya saya berpeluang untuk menggubal falsafah pendidikan, berikut merupakan kriteria-kriteria utama yang perlu diambil kira untuk untuk menghasilkan falsafah pendidikan yang baik.

1. Tujuan Pendidikan

Perkara utama yang perlu dititikberatkan adalah tujuan sesuatu pendidikan itu dijalankan. Sebenarnya, tujuan pendidikan bagi semua orang adalah sama tetapi berbeza apabila entiti yang lebih besar seperti sebuah negara menggubal falsafah pendidikan untuk rakyatnya. Misalnya, tujuan pendidikan di Malaysia pada dasarnya adalah untuk menyatupadukan kaum yang berbilang supaya wujud masayarakat majmuk yang harmoni, berfikiran terbuka dan dapat menerima antara satu sama lain. Tujuan pendidikan yang saya inginkan untuk masyarakat Malaysia pula adalah pendidikan yang lebih bersifat terbuka, adil dan saksama bagi setiap orang tanpa mengira bangsa dan agama. Perpaduan masih diletakkan sebagai objektif utama dan saya akan mewujudkan sebuah jenis sekolah sahaja iaitu sekolah kebangsaan. Hal ini demikian kerana, saya berhasrat untuk melihat murid-murid sekolah bergaul dengan rakan-rakan yang berlainan kaum sejak dari awal dan tidak terpisah oleh aliran sekolah yang bersifat vernakular. Sementara itu, pada peringkat murid, pendidikan haruslah menghasilkan murid yang seimbang dari segi jasmani, emosi, rohani, intelek dan sosial di samping berkemahiran dalam pelbagai bidang seperti bahasa, teknologi dan teknikal.

2. Kehendak Masyarakat
Falsafah pendidikan yang saya inginkan juga haruslah memenuhi kehendak masyarakat.Kehendak masyarakat sudah pastilah menginginkan anak-anak mereka mendapatkan pendidikan terbaik di sekolah-sekolah. Masyarakat juga hendak melihat para pelajar akan berjaya dalam bidang akademik dan juga disiplin serta modal insan yang kreatif dan inovatif dan mampu membangunkan negara. Oleh itu, dalam falsafah pendidikan yang saya gubal itu, saya akan mengutamakan kehendak masyarakat dan cuba membentuk satu persekitaran yang kondusif di sekolah-sekolah. Antara tindakan yang boleh saya ambil adalah menggubal satu dasar pendidikan untuk satu jangka masa yang panjang dan tidak berubah-ubah supaya hasil dasar tersebut dapat dilihat dan tidak membebankan pelajar dan guru. Selain itu, kemudahan infrastruktur juga harus dibekalkan dengan cukup dan maju selaras dengan perkembangan semasa.

3. Kehendak Pelajar

Selain itu, kehendak para pelajar juga sangat penting dan harus diambil berat dalam penggubalan falsafah pendidikan kerana para pelajarlah yang menentukan dasar ini berjaya mencapai matlamat atau tidak. Kehendak pelajar adalah berbeza dan tidak sama mengikut tahap persekolahan mereka. Misalnya, kehendak pelajar sekolah rendah tidak sama dengan kehendak pelajar sekolah menengah.Oleh itu, falsafah pendidikan yang akan saya gubal adalah bersifat demokratik. Hal ini bermaksud, pelajar akan diberi kebebasan yang terkawal untuk mempelajari dan mengembangkan ilmu mereka. Para pelajar biasanya menginginkan banyak pengalaman dan kepuasan diri semasa menuntut ilmu. Oleh itu, dasar pendidikan hendaklah bersifat sederhana dan tidak membebankan para pelajar, di samping memberikan mereka kebebasan untuk belajar sesuatu yang baru dan tidak membuat mereka tertekan sangat.

 4.Peranan Guru

Guru merupakan individu yang memainkan peranan penting dalam membimbing dan mengajar para pelajar. Dalam falsafah pendidikan saya sendiri, saya akan menegaskan bahawa guru merupakan elemen terpenting dan merupakan kunci kejayaan kepada para pelajarnya.Guru berperanan sebagai agen perubahan dalam dunia pendidikan yang dinamik dan realiti.Tugas utama guru adalah menyampaikan ilmu dan membimbing para pelajar kearah kebaikan dan kejayaan serta sentiasa bersifat terbuka dan peka dengan perkembangan semasa. Oleh itu, guru hendaklah lebih bijak dari pelajarnya tetapi sentiasa sudi belajar dari para pelajarnya. Selain itu, guru juga haruslah bersifat professional, berani dan sanggup melaksanakan inovasi dan tranformasi dalam kaedah pengajaran dan pembelajaran untuk melahirkan generasi yang berkembang secara seimbang dari segi jasmani, emosi, rohani, intelek dan sosial.

Rujukan:
Choong Lean Keow (2008), Falsafah dan Pendidikan di Malaysia
      Selangor: Kumpulan Budiman Sdn.Bhd.
Norita A. Rashid, et al. (2012). Falsafah dan Pendidikan di Malaysia. Shah Alam: Oxford Fajar.


Comments

Popular posts from this blog

Sejarah Perkembangan Pendidikan di Malaysia

Pembangunan Sukan Paralimpik Di Malaysia