Bahasa Melayu Konstektual: Pengacaraan Majlis

1.0 Pengenalan
          
Tuhan telah mencipta manusia dengan unik sekali kerana dianugerahkan pelbagai jenis organ dan anggota badan yang membezakan kita dengan ciptaan-Nya yang lain.Contoh organ yang dianugerahkan kepada kita termasuklah otak untuk berfikir, mulut untuk bercakap, telinga untuk mendengar dan sebagainya.Oleh itu, kita haruslah menggunakan anggota-anggota tersebut dengan betul supaya kita memperoleh manfaatnya.Dalam tugasan ini, salah satu kegunaan organ otak, mulut dan telinga akan dibincangkan, iaitu kemahiran menyampaikan pelbagai maklumat.
             
Mengapakah kita perlu mempelajari dan menguasai kemahiran menyampai maklumat secara berkesan? Kita perlu mempelajari dan menguasai kemahiran tersebut supaya kita dapat berkomunikasi dengan orang lain melalui penyampaian maklumat yang berkesan.Menyampaikan maklumat merupakan komunikasi berbentuk interpersonal yang mempunyai penyampai dan penerima.Sebagai seorang bakal guru, kita perlu menguasai kemahiran berkomunikasi dan menyampai dengan baik kerana kita akan menyampaikan ilmu kepada para murid di sekolah nanti.Guru yang mahir menyampai dengan murid biasanya dapat menghasilkan suasana pembelajaran yang lebih dinamik, pembentukan akhlak serta kemahiran-kemahiran tertentu akan dapat diterapkan dengan lebih berkesan.
          
Kemahiran menyampai juga harus dikuasai supaya tidak berlaku kecelaruan semasa menyampaikan maklumat.Kelemahan dalam menyampaikan maklumat akan menyebabkan sesuatu maklumat itu tidak akan sampai, malah akan disalah tafsir oleh penerima.Jadi, kemahiran menyampaikan menyampaikan maklumat perlu dipelajari dan bukan diwarisi.
         
Dalam tugasan ini, saya akan cuba untuk menerangkan konsep, jenis dan ciri-ciri pengacaraan majlis yang baik iaitu salah satu kaedah yang boleh digunakan dalam proses penyampaian maklumat.Saya juga akan membuat skrip pengacaraan majlis separuh rasmi berdasarkan atur cara majlis yang disediakan berdasarkan format penulisan yang betul.

2.0 Pengacaraan Majlis
         Penganjuran majlis merupakan kelaziman yang terdapat di mana-mana sahaja di Malaysia seperti di sekolah, universiti, hotel dan sebagainya.Penganjuran majlis ini dibuat untuk tujuan tertentu dalam majlis rasmi seperti majlis sambutan hari guru, sambutan kemerdekaan dan majlis tidak formal yang lain.Majlis ini akan diacarakan oleh seorang atau dua orang individu yang dikenali sebagai pengacara majlis.Noresah Baharum et al. (2010) menakfifkan pengacara majlis sebagai orang yang megendalikan persembahan acara-acara dalam satu pertunjukan, majlis dan lain-lain manakala majlis pula ialah perjumpaan orang ramai atau keramaian.Pengacara majlis juga boleh didefinisikan sebagai seseorang yang dilantik secara rasmi untuk dipertanggungjawabkan mengendalikan sesebuah majlis mengikut aturcara yang telah ditetapkan dan merujuk kepada skrip yang telah diluluskan serta berpandukan arahan Pegawai Protokol.Pengacara majlis ini penting untuk mengendalikan sesebuah majlis bagi memastikan kelancaran majlis tersebut.Pengacara majlis ini biasanya disebut sebagai MC iaitu singkatan bagi perkataan master of ceremony dalam bahasa Inggeris.

 3.0 Ciri-ciri Pengacaraan Majlis Yang Baik
Secara umumnya, pengacaraan majlis yang baik terbahagi kepada dua komponen utama iaitu jenis-jenis majlis yang diacarakan dan pengacara majlis itu sendiri.Sesuatu majlis itu tidak akan lari daripada pengacara majlis dan begitu juga dengan majlis yang tidak akan menjadi sekiranya tiada pengacara.Pengacara majlis pula bergantung kepada jenis majlis yang akan diacarakan sama ada majlis rasmi, majlis separa rasmi dan majlis tidak rasmi.Atur cara pengacaraan majlis bagi ketiga-tiga majlis ini berbeza dan tahap kemahiran yang perlu ada pada seseorang individu untuk mengacarakan majlis ini juga adalah berbeza.
             
             3.1 Jenis-Jenis Majlis
         
Secara umumnya, terdapat tiga jenis majlis iaitu majlis rasmi, majlis separa rasmi dan majlis tidak rasmi.Setiap jenis majlis ini berbeza dan mempunyai peraturan atau protokol yang perlu dipatuhi.Majlis rasmi atau majlis formal merupakan majlis yang bersifat rasmi sepenuhnya serta melibatkan dif-dif jemputan yang besar seperti raja-raja, menteri-menteri dan mempunyai sistem protokol yang lebih ketat dan terperinci seperti majlis penganugerahan pingat kebesaran, majlis sambutan kemerdekaan negara, majlis pertabalan sultan dan sebagainya.Dalam majlis seperti ini, hadirin akan terdiri daripada dua taraf.Taraf pertama ialah golongan kerabat diraja seperti sultan-sultan, Raja Muda, Putera Mahkota.Hadirin dari tahap ini biasanya disebut sebagai (VVIP) atau very-very important person dalam bahasa Inggeris.Sementara itu, taraf kedua hadirin pula terdiri daripada para menteri, orang kenamaan, ketua-ketua jabatan dan sebagainya.Golongan taraf kedua pula digelar sebagai very important person (VIP).Daripada panggilan ini,kita dapat tahu perbezaan darjat dan pangkat dif-dif jemputan tersebut.Mengikut protokol, hadirin yang terdiri daripada kerabat diraja harus diutamakan dalam apa-apa juga majlis dan diikuti oleh pemimpin masyarakat dan seterusnya masyarakat umum.
         
Majlis separa formal atau majlis rasmi yang biasa pula biasanya tidak melibatkan barisan orang kenamaan yang ramai dan hanya mempunyai taraf hadirin sahaja.Tetamu yang hadir dalam majlis rasmi biasa ini terdiri daripada menteri-menteri, orang kenamaan, pegawai-pegawai tinggi kerajaan dan yang setaraf dengannya.Antara contoh majlis separuh formal ini seperti majlis perasmian, majlis perkahwinan, majlis persaraan, majlis penerimaan sijil dan sebagainya.
        
Sementara itu, majlis tidak rasmi pula bersifat agak longgar dari segi protokolnya dan dilaksanakan dalam suasana yang tidak formal dan santai.Contohnya, majlis anugerah cemerlang sekolah, majlis sukan, majlis perhimpunan, majlis hari keluarga dan sebagainya.Majlis tidak formal biasanya dilaksanakan di peringkat jabatan, universiti, sekolah, rumah dan seumpamanya.Majlis seperti ini juga bersifat dalaman dan tidak tertakluk kepada peraturan sama seperti majlis rasmi dan majlis separa rasmi.
       
Dalam ketiga-tiga jenis majlis tersebut, peranan atau tugas pengacara majlis aadalah berbeza mengikut jenis majlis.Misalnya, dalam majlis rasmi yang dihadiri oleh golongan kerabat diraja, pengacaraan majlis lebih mencabar kerana pengacara tertakluk kepada protokol penyampaian, sistem panggilan, peraturan pakaian, sambutan tetamu dan sebagainya.Keadaan yang sama juga berlaku dalam pengacaraan majlis separa rasmi, cuma lebih mudah daripada majlis rasmi.Pengaca majlis mestilah yang berpengalaman, berkeyakinan tinggi dan sesuai untuk menjadi pengacara.Skrip pengacaraan haruslah disediakan, disemak dan diedit untuk memastikan skrip tersebut tepat dari segi bahasa dan kesesuaian majlis.Bagi majlis tidak rasmi pula, pengacara majlis tidak semestinya menyediakan skrip kerana boleh diacarakan secara spontan dan dibenarkan menggunakan ayat-ayat yang biasa.
Secara lebih khusus, majlis yang biasanya dijalankan di Malaysia ialah seperti yang berikut:

(i) Majlis Penuh Istiadat
Majlis seperti ini biasanya dijalankan sewaktu majlis pertabalan diraja, majlis  perkahwinan diraja dan majlis penganugerahan darjah kebesaran negeri.Majlis ini biasanya berlaku di istana dan di luar istana seperti pembukaan rasmi sidang parlimen.Pakaian bagi menghadiri majlis ini ialah pakaian istiadat atau pakaian rasmi kebangsaan.
(ii) Majlis rasmi dan formal
Majlis rasmi dan formal biasanya dijalankan untuk meraikan ketua-ketua kerajaan asing yang melawat negara, majlis jamuan oleh Perdana Menteri serta majlis rasmi anjuran kerajaan seperti seminar dan konvensyen.
(iii) Majlis rasmi tetapi tidak formal
Majlis rasmi tetapi tidak mematuhi protokol sepenuhnya seperti jamuan teh oleh Perdana Menteri.
(iv) Majlis tidak rasmi tetapi formal
Majlis ini seperti seperti majlis anjuran swasta yang mematuhi protokol sepenuhnya dan melibatkan orang kenamaan dan menteri seperti perasmian bangunan baru, upacara pecah tanah dan pertunjukan.
(v) Majlis tidak rasmi dan tidak formal
Majlis biasa anjuran organisasi tertentu dan protokol yang diikuti adalah seperti yang ditetapkan oleh organisasi masing-masing seperti jamuan akhir tahun.

 3.2 Ciri-Ciri Pengacara Majlis Yang Baik
     Pengacara majlis merupakan individu yang mengidupkan suasana semasa sesuatu majlis itu sedang berlangsung.Pengacara majlis berperanan memudahkan kelansungan majlis mengikut atur cara yang telah ditetapkan oleh penganjur.Sesuatu majlis mungkin akan lebih berseri dan menarik jika pasangan lelaki dan wanita ditugaskan untuk mengacarakan majlis tersebut.Sebelum memilih seseorang pengacara, pastikan individu itu mempunyai kriteria yang cukup baik supaya layak menjadi pengacara majlis.
      
Pertamanya, seseorang individu itu hendaklah terdiri daripada mereka yang berkebolehan serta mahir dalam berkomunikasi dengan yakin.Individu itu juga mestilah seorang yang berani, berketerampilan baik dan tidak kekok tampil di hadapan pentas atau di hadapan khalayak.Individu tersebut juga harus merupakan seorang yang peka dengan keadaan sekeliling semasa majlis berjalan.Ini perlu sekiranya sesuatu majlis itu dengan tiba-tiba menghadapi perubahan saat akhir, maka pengacara tersebut haruslah peka dan tahu apa yang perlu dibuat.
        
Seterusnya, seseorang individu yang bakal menjadi pengacara majlis juga harus sentiasa bersedia untuk mengumumkan atau memaklumkan apa-apa yang akan berlaku mengikut urutan majlis kepada hadirin.Pengacara majlis juga haruslah mempunyai suara yang jelas, ceria dan mampu menghidupkan atau menceriakan suasana majlis.Pengacara majlis yang baik dan berualiti merupakan seorang yang kreatif dan mampu melahirkan ujaran yang spontan sekiranya terdesak serta bijak mengadaptasi keadaan majlis.
         
Akhir sekali, seseorang bakal pengacara itu haruslah mempunyai gaya penyampaian yang baik dan mampu memberikan imej yang positif kepada khalayak.Seseorang pengacara hedaklah aktif, tidak terlalu kaku dan tidak berbicara dengan aksi-aksi yang keterlaluan.Kemahiran bahasa juga diperlukan kerana seseorang pengacara itu perlu tahu menysusun pengucapan bertatasusila mengikut prosedur dan etika sosial.Pengacara yang kreatif dan bijak mampu mengacarakan semua jenis majlis dengan baik serta tahu apa perbezaan dan protokol setiap majlis tersebut.
         
Majlis boleh dikelaskan kepada tiga jenis, iaitu majlis rasmi, separuh rasmi dan majlis tidak rasmi.Persediaan untuk mengacarakan ketiga-tiga majlis ini berlainan kerana protokol yang berbeza.Misalnya, sesorang pengacara hendaklah seorang yang berkebolehan dan berpengalaman jika hendak mengacarakan majlis rasmi dan majlis separa rasmi.Untuk pengacara majlis yang tidak rasmi pula, seseorang itu tidak perlu terikut kepada protokol dan boleh mengacarakan dengan bebas asalkan sopan dan bertepatan dengan atur cara majlis.
         
Dalam pengacaraan majlis rasmi dan separuh rasmi, seseorang pengacara itu haruslah meneliti senarai tetamu terlebih dahulu sebagai persediaan dari segi sistem panggilan dan protokol.Pengacara juga hendaklah mempunyai persediaan yang cukup, termasuk menghadiri raptai yang dijalankan oleh pihak penganjur.Dari segi bahasa dan gaya, pengacara tersebut perlu tahu bertutur dalam bahasa Melayu standard dan mahir dalam tatabahasa dan laras bahasa.Gaya haruslah dikawal supaya tidak keterlaluan serta mematuhi atur cara majlis sepenuhnya.
         
Sementara itu, bagi pengacaraan majlis yang tidak rasmi pula, seseorang pengacara tidak perlu berlatih kerana pertuturan adalah secara spontan.Walau bagaimanapun, pengacara majlis perlu tahu siapa hadirin yang hadir sebagai menghormati mereka.Penggunaan bahasa halus tidak dititkberatkan serta dibenarkan menggunakan dialek yang sesuai.Gaya bahasa lebih bersifat kemesraan dan spontan tetapi masih menjaga tatasusila berbahasa.Pengacaraan juga tidak semestinya berdasarkan skrip yang tersedia, tetapi masih mematuhi susunan atur cara majlis.

     

Comments

  1. Perkongsian informasi yang sangat baik. Semoga boleh dijadikan rujukan oleh pelajar jurusan event management, persatuan, pertubuhan, sekolah dan lain.
    Teruskan..

    ReplyDelete
  2. minta rujukan untuk pendapat tokoh

    ReplyDelete

Post a Comment

Popular posts from this blog

Sejarah Perkembangan Pendidikan di Malaysia

Pembangunan Sukan Paralimpik Di Malaysia