Tugasan 3: Hubungan Antarabangsa Malaysia

1.0 Pengenalan
      
Dasar luar Malaysia digubal dengan matlamat untuk menjaga dan mempertahankan kemerdekaan, kedaulatan dan keselamatan Malaysia dan seterusnya mempertahankan prinsip menghormati kemerdekaan dan kedaulatan wilayah melalaui dasar tidak campur tangan dalam hal ehwal dan masalah dalaman negara orang lain.Dasar luar negara bermaksud dasar kerajaan terhadap negara-negara lain di dunia.Negara boleh diibaratkan sebagai seorang manusia yang memerlukan keselamatan dan kebebasan dan tidak ingin diganggu dan diancam oleh pihak-pihak tertentu.
       
        Hal-hal seperti keselamatan dan kedaulatan lebih diutamakan oleh negara kecil seperti Malaysia dan kadangkala, negara-negara kecil seperti ini terpaksa mencari perlindungan daripada kuasa-kuasa besar dunia, atau bekerjasama dengan negara lain untuk kepentingan bersama.Kebanyakan negara di dunia termasuklah Malaysia menjalankan dasar luar yang lebih tertumpu kepada kepentingan ekonomi perdagangan untuk mencari keperluan dan pendapatan asas yang digunakan untuk membangunkan negara.
         
Hubungan luar Malaysia tertakluk kepada dasar-dasar kerajaan, objektif hubungan luar serta prinsip-prinsip hubungan luar yang diamalkan oleh negara.Secara umumnya, Malaysia ialah sebuah negara kecil yang aktif untuk menjalankan hubungan luar dengan negara lain untuk kepentingan politik, ekonomi dan sosial.

 2.0 (a) Prinsip-prinsip yang perlu diambil kira dalam menentukan dasar luar Malaysia.
         Dasar luar dapat didefinisikan sebagai matlamat, rancangan dan tindakan yang dijalankan oleh sesebuah negara dalam usaha untuk berhubung dengan sesebuah negara yang lain dan dalam pengertian yang terhad, dasar luar negara hanya mementingkan aspek tindakan yang diambil oleh sesebuah negara bagi mempengaruhi keadaan-keadaan yang berada di luar bidang kuasanya.Bagi menjaga kepentingan, keamanan dan keselamatan sesebuah negara, hubungan di antara sebuah negara dengan sesebuah negara yang lain adalah perlu dan penting. Hal ini demikian kerana kebanyakan negara bergantung antara satu sama lain dalam pelbagai aspek seperti politik, ekonomi, teknologi dan keselamatan.

         Proses pemusatan dan cara pembentukan dasar luar Malaysia selama ini telah dan terus dipelopori oleh segelintir golongan elit politik yang menduduki tampuk kerajaan.Sejak merdeka, elitisme merupakan ciri paling penting dan nyata dalam perumusan dan pemusatan dasar luar Malaysia.Dasar luar merupakan satu aspek dalam dasar awam Malaysia yang paling bersifat keelitan.Elit politik terdiri daripada individu-individu atau satu kumpulan yang berada dalam struktur kerajaan yang mampu mempengaruhi dalam pembentukan dan pelasaran dasar-dasar kerajaan.Golongan elit politik yang dimaksudkan ialah Perdana Menteri, Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Kementerian Luar Negeri yang disebut sebagai inner elite circle dan diikuti oleh Menteri-Menteri Kabinet, ahli-ahli Parlimen dan seterusnya pegawai-pegawai yang bertugas di Kementerian Luar Negeri.Dasar luar negara ini bersifat keelitan kerana, orang-orang yang bertanggungjawab untuk mengadakan atau mewujudkan hubungan luar adalah pemimpin kerajaan yang memerintah iaitu Perdana Menteri, Timabalan Perdana Menteri dan Menteri Luar.Hal ini demikian kerana, individu-individu inilah yang dikatakan mahir dan berpersonaliti untuk mewujudkan hubungan luar.Jika seseorang pemimpin itu menjadi Perdana Menteri, maka segala hal yang berkaitan dengan hubungan luar akan berada di bawah kawalan serta pengaruhnya.Contohnya, Tan Sri Ghazali Shafie yang bertugas sebagai Setiausaha Tetap semasa era Tunku Abdul Rahman digelar sebagai arkitek dasar luar Malaysia yang paling unggul dan berpengaruh selepas Tunku.

        Objektif asas dan utama dasar luar Malaysia adalah bertujuan untuk melindungi kepentingan nasional di peringkat antarabangsa.Mantan Menteri Luar Negeri Malaysia iaitu Dato’ Seri Syed Hamid Albar menyatakan bahawa antara objektif utama dasar luar negara adalah menjaga, mempertahankan dan memajukan semua kepentingan Malaysia di peringkat global.Selain itu, dasar ini turut menjaga dan mempertahankan kemerdekaan, kedaulatan dan keselamatan Malaysia dan seterusnya mempertahankan prinsip menghormati kemerdekaan dan kedaulatan sesebuah wilayah melalui dasar tidak campur tangan dalam hal ehwal dan masalah dalaman negara lain.Objektif seterusnya adalah untuk menangani perkembangan dan cabaran politik, ekonomi, keselamatan dan sosial di peringkat global.Dasar ini juga dapat memupuk hubungan baik serta dapat mengeratkan kerjasama dan hubungan dengan negara-negara lain.Melalui dasar luar juga, maka pendirian serta kepentingan negara-negara membangun seperti Malaysia dapat disuarakan dan dipertahankan di peringkat antarabangsa.

        Dalam menentukan dasar luar Malaysia, terdapat beberapa prinsip asas yang telah ditentukan untuk memastikan matlamat dasar luar tercapai.Pertama, Malaysia berpegang kepada prinsip menjaga, mempertahan dan memajukan kepentingan Malaysia di arena antarabangsa.Maksudnya, negara kita membuat dasar luar yang bersangkutan dengan keupayaan mempertahankan negara supaya sentiasa aman dan bebas daripada pengaruh kuasa luar.Malaysia, merupakan sebuah negara di Asia Tenggara dan termasuk dalam the Association of Southeast Asians Nations (ASEAN) yang lebih berpegang kepada dasar berkecuali iaitu, tidak menyokong mana-mana pihak, kuasa luar atau blok ideologi dunia.Malaysia juga telah menyarankan supaya diwujudkan Zone of Peace, Freedom and Neutrality (ZOPFAN) yang telah diterima sebagai pendirian ASEAN.Selain itu, Malaysia juga telah memberi penekanan terhadap dasar non-aligned dan telah menggangotai Pergerakan Negara-Negara Berkecuali (NAM) pada tahun 1970.Malaysia juga telah mengambil langkah untuk berbaik-baik dengan semua negara tanpa mengira fahaman ideologi negara tersebut.Buktinya, pada tahun 1974, Malaysia telah menjalinkan hubungan diplomatik dengan Republik Rakyat China yang mengamalkan ideologi komunis serta negara-negara Indochina tanpa mengabaikan kepentingan dalam ASEAN.
      
        Prinsip kedua dalam dasar luar Malaysia ialah dasar berbaik-baik dalam soal hubungan dengan negara lain.Usaha mengekalkan keamanan serantau dilakukan dengan merangka rangkaian usaha-sama ekonomi antara Malaysia dengan negara-negara jiran.Malaysia terletak dalam kawasan yang mustahak dari sudut geopolitik di rantau Asia-Pasifik serta terletak di persimpangan dua jalan laut terpenting yang menghubungkan Timur dan Barat yang kaya dengan sumber ekonomi galian seperti minyak dan sebagainya.Malaysia juga mempunyai keupayaan dalam membangunkan ekonominya sendiri dengan adanya kekayaan sumber serta kebolehan mengeksport bahan-bahan mentah dan barangan yang diproses.Namun begitu, masalah politik serta konflik yang sering terjadi di persekitaran Asia Tenggara sentiasa mengancam kedudukan politik dan ekonomi negara.Oleh yang demikian, prinsip berbaik-baik dengan semua negara adalah perlu untuk mengekalkan keamanan negara dan serantau.

        Prinsip asas dasar luar Malaysia yang ketiga ialah menghormati kemerdekaan dan kedaulatan wilayah melalui dasar tidak campur tangan dalam hal ehwal dalaman negara lain.Ini bermaksud, Malaysia akan menghormati kedaulatan sesebuah negara dan tidak akan mencampuri urusan pentadbiran dan masalah dalaman negara tersebut.Malaysia juga mengamalkan dasar luar negara yang pro-Barat, anti-komunis, anti-Israel serta anti-apartheid.Negara juga telah menjadi anggota dalam beberapa pertubuhan antarabangsa dan mengambil peranan aktif dalam pertubuhan tersebut seperti Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Five Power Defence Arrangements (FPDA) dan Komanwel.Malaysia juga merupakan salah sebuah negara yang menyuarakan idea dan menjadi pengasas bersama Pertubuhan Asia Tenggara pada tahun 1961 sebelum terbentuknya ASEAN pada tahun 1967.

         Prinsip keempat pula ialah dasar luar Malaysia yang percaya dan bekerjasama dengan komited terhadap negara-negara yang mempunyai hubungan dengan Malaysia.Sebagai contoh, sebagai sebuah negara anggota Komanwel, Malaysia telah dipilih dan bersedia untuk menjadi tuan rumah kepada Persidangan Ketua-Ketua Negara Komanwel (CHOGM) pada tahun 1989.Pada tahun 1998 pula, Malaysia sekali lagi terpilih dan bersedia untuk menjadi tuan rumah kepada Sukan Komanwel sebagai salah satu medan untuk mengukuhkan pertalian erat dalam kalangan negara anggota Komanwel.Akhir sekali, sebagai sebuah negara yang mana agama Islam sebagai agama rasmi negara, maka Malaysia juga telah menjalin hubungan yang rapat dengan negara-negara Islam di dunia.Malaysia telah menganggotai Pertubuhan Negara-Negara Islam (OIC) dan mengambil peranan aktif serta komitmen yang tinggi dalam OIC.

        Melaksanakan dasar luar sesebuah negara merupakan satu tugas yang rumit dan mencabar.Di Malaysia misalnya, pelaksanaan dasar luar ini diletakkan di bawah Kementerian Luar Negeri di bawah seorang menteri yang bertanggungjawab dalam memastikan dasar-dasar luar dapat dilaksanakan dengan betul dan menepati matlamat dasar tersebut.Kementerian Luar Negeri haruslah sentiasa peka terhadap perubahan dan mampu bertindak balas dengan berkesan dalam mempertahankan kedaulatan dan keselamatan negara  di samping mampu menyatakan pendirian Malaysia dengan jelas di peringkat global.

       Semua negara di dunia mempunyai prinsip-prinsip yang tersendiri dalam melaksanakan dasar luar mereka.Kerajaan Malaysia telah mewujudkan prinsip-prinsip yang perlu diambil kira dalam menentukan dasar luar negara agar tidak lari atau tersasar daripada matlamat hubungan luar.Salah satu prinsip yang diamalkan oleh Malaysia ialah dasar berkecuali.Dasar ini bermaksud tidak mengikat dan terikat dengan mana-mana negara dalam membuat keputusan walaupun terdapat tekanan daripada negara kuasa besar yang lain.

3.0 (b) Bincangkan dasar luar Malaysia semasa era kepimpinan Tunku Abdul Rahman ataupun Tun Abdul Razak. (30 markah)

        Analisis dasar luar Malaysia semenjak mencapai kemerdekaan pada tahun 1957 boleh dibahagikan kepada beberapa fasa atau peringkat.Era kepimpinan Tunku Abdul Rahman yang bermula sejak tahun 1957 sehingga tahun 1970 dikatakan sebagai fasa pertama sejarah hubungan luar Malaysia.Fasa kedua bermula pada tahun 1970 sehingga 1976 semasa Tun Abdul Razak memegang jawatan sebagai Perdana Menteri Malaysia yang kedua.Fasa ketiga di bawah kepimpinan Tun Hussein Onn pada tahun 1976 sehingga 1981 dan fasa-fasa seterusnya mengikut tempoh pentadbiran seseorang Perdana Menteri tersebut.

       Dalam tajuk ini, saya akan cuba untuk membincangkan dasar luar Malaysia semasa era kepimpinan Tun Abdul Razak.Oleh kerana dasar luar Malaysia bersifat keelitan, maka adalah perlu dilihat secara umum dasar luar semasa Tunku Abdul Rahman  menjadi Perdana Menteri yang pertama.Secara umumnya, dasar luar fasa pertama di bawah kepimpinan Tunku Abdul Rahman adalah sesuatu yang boleh dijangkakan.Pada masa itu, Malaysia merupakan negara yang masih “muda” kerana baru sahaja memperoleh kemerdekaan daripada kerajaan British.Oleh itu, Tunku Abdul Rahman lebih bersikap pro-Barat dalam dasar luar  apabila dilihat lebih rapat kepada negara Britain dari segi ekonomi, politik, budaya dan jalinan pertahanan.Hal ini demikian kerana, sebagai sebuah negara yang baru merdeka, Malaysia masih lagi bergantung kepada bekas penjajah untuk memenuhi keperluan dalam aspek-aspek yang disebutkan tadi terutama dalam aspek politik, ekonomi dan pertahanan.Sebagai contoh, Malaysia telah menandatangani perjajian Anglo Malayan Defence Agreement (AMADA) pada tahun 1957 untuk menjamin keselamatan dan pertahanan negara.Selain itu, Tunku Abdul Rahman juga menunjukkan penentangan kuat terhadap komunis sama ada di dalam atau luar negara.Beliau telah menyekutukan Malaysia dengan blok Barat di peringkat antarabangsa dalam Persidangan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

        Selepas perletakan jawatan Tunku Abdul Rahman secara rasmi sebagai Perdana Menteri pada 22 September 1971, tampuk kepimpinan di Malaysia dipegang oleh Tun Abdul Razak yang juga merupakan Timbalan Perdana Menteri pada ketika itu.Beliau merupakan seorang pemimpin yang cukup berkaliber kerana beliaulah yang ditugaskan oleh Tunku Abdul Rahman untuk mempengerusikan Majlis Gerakan Negara (MAGERAN) untuk mengatasi rusuhan kaum pada 13 Mei 1969.Beliau telah dilantik menjadi Pengarah Majlis Gerakan Negara (MAGERAN) yang merupakan pemimpin de facto dan bertindak sebagai Ketua Kerajaan bermula pada bulan Mei 1969 di bawah Tunku Abdul Rahman yang masih memegang jawatan sebagi Perdana Menteri.

        Selepas Tun Abdul Razak menjadi Perdana Menteri Malaysia, beliau telah mengambil langkah drastik dan berani mengenai dasar luar Malaysia.Jika Tunku Abdul Rahman yang sebelum ini lebih pro-Barat dan anti-komunis, Tun Abdul Razak pula telah membuka lembaran baru dalam hubungan luar apabila berganjak dan cuba untuk lari daripada pendirian tradisional yang keras menentang negara-negara Komunis.Dasar baru Tun Abdul Razak lebih bersifat terbuka dan usaha serta pandangan anti-komunis semakin berkurangan malah, beliau telah memulakan hubungan diplomatik dan politik dengan negara-negara komunis di Barat dan Asia.Usaha ini dilihat sampai ke kemuncaknya apabila hubungan diplomatik dengan Rebuplik Rakyak China telah berlangsung pada tahun 1974.Langkah Tun Abdul Rahman membuat hubungan diplomatik dan berbaik-baik dengan China merupakan langkah yang bertentangan dengan dasar yang diamalkan oleh Tunku Abdul Rahman sebelum ini.Dalam penjelasan beliau tentang perkara ini kepada ahli-ahli Parlimen pada Julai 1971, beliau telah menegaskan tentang perlunya perubahan fundamental dalam melakukan pendekatan terhadap Komunis antarabangsa.Hal ini demikian kerana, Tun Abdul Razak mahu meneruskan dan mengasaskan hubungan diplomatik dengan semua negara tanpa mengira ideoloi politik negara tersebut asalkan mereka menghormati kemerdekaan dan kedaulatan Malaysia.Tun Abdul Razak juga berpendapat bahawa ideologi politik sesebuah negara itu adalah urusan kerajaan dan rakyat negara itu sendiri.

       Langkah awal Malaysia untuk mengatur hubungan dengan China adalah menerusi penghantaran 19 orang delegasi perdagangan ke Peking.Sebelum itu, komunikasi antara Malaysia-Peking telah pun berlaku melalui sukan ping pong dan badminton, kerjasama perubatan dan perdagangan serta melalui rundingan yang pernah dilakukan di New York.Hubungan rasmi Malaysia-China bermula pada bulan Mei 1974 apabila Tun Abdul Razak membuat lawatan dramatik ke Rebuplik Rakyat China atas jemputan rasmi daripada Perdana Menteri Chou En-Lai.Lawatan ini merupakan lawatan rasmi pertama yang pernah berlangsung di antara kedua-dua negara.Tun Abdul Razak yang ditemani oleh wakil-wakil daripada parti politik Barisan Nasional serta pegawai-pegawai kerajaan telah bertemu dengan Pengerusi Mao Tse-tung dan mengucapkan tahniah dan penghargaan daripada kerajaan Malaysia.Dalam lawatan rasmi pertama ini, Malaysia telah mengenal pasti tiga isu politik yang memerlukan jaminan dan penjelasan daripada China berhubung beberapa masalah yang berlaku di Malaysia pada ketika itu.

       Antara masalah yang dijelaskan dan dijamin oleh kerajaan China dalam lawatan delegasi pertama itu ialah, pengharaman terhadap Parti Komunis Malaya (PKM) dan jaminan daripada China untuk tidak memberi bantuan ketenteraan kepada pengganas Komunis di Malaysia.Peking juga telah menafikan penglibatan negaranya dalam isu berkaitan dengan penyiaran “Radio Revolusi Malaya” iaitu radio rahsia Parti Komunis.Sementara itu, Peking juga telah bersetuju untuk membincangkan secara terperinci tentang kedudukan terhadap rakyat mereka di Malaysia, terutamanya mereka yang tidak mempunyai status kewarganegaraan yang sah.Namun begitu, semangat Malaysia dalam membuat hubungan dengan China juga perlu mengambil kira sensitiviti negara ASEAN yang lain, khususnya Indonesia yang bergelut untuk bebas dari pengarauh Komunis.Oleh itu, Tun Abdul Razak secara peribadi telah memberikan jaminan kepada Presiden Suharto bahawa hubungannya dengan China tidak akan mengeruhkan hubungannya dengan Indonesia.Pada masa itu juga, hubungan Malaysia dengan Indonesia dan Filipina juga adalah kurang baik kerana negara jiran tersebut masih tidak berpuas hati dengan pembentukan Malaysia pada tahun 1963.Perjanjian damai yang telah ditandatangani pada April 1966 di antara Tun Abdul Razak dengan Tun Adam Malik telah membuka lembaran baru dan toleransi dalam hubungan antara kedua-dua negara.Perdamaian tersebut telah diikuti oleh penambahbaikan hubungan Malaysia-Filipina walaupun Filipina belum menggugurkan tuntutannya ke atas Sabah.

        Selain itu, Malaysia juga telah menjalinkan hubungan diplomatik dengan beberapa lagi negara Komunis iaitu Korea Utara, Vietnam Utara dan Jerman Timur pada tahun 1973.Tun Abdul Razak telah melawat Soviet Union pada tahun 1968 dan seterusnya membawa kepada hubungan diplomatik tidak lama selepas itu.Malaysia telah membuka kedutaan di Moscow serta menandatangani perjanjian perdagangan untuk mengukuhkan hubungan perdagangan antara kedua-dua negara.Walau bagaimanapun, dalam kesungguhan Malaysia mengadakan hubungan diplomatik dengan negara-negara Komunis, Tun Abdul Razak masih lagi mengakui kepentingan negara untuk bersekutu dengan negara rakan di Barat, terutamanya dalam aspek keselamatan dan pertahanan negara.Malaysia telah menandatangani Five-Power Defence Arranggement (FPDA) yang turut dianggotai oleh Britain, Australia, New Zealand, Malaysia dan Singapura yang bertujuan untuk mengawal pertahanan udara dan laut Malaysia dan Singapura.

        Dalam hubungan serantau pula, Tun Abdul Razak merupakan antara individu ataupun pemimpin yang aktif berperanan dalam ASEAN.Beliau telah berusaha untuk menjadikan Zone of Peace, Freedom and Neutrality in Southeast Asia (ZOPFAN) sebagai salah satu dasar dalam ASEAN.ZOPFAN merupakan satu perjanjian pertahanan bagi menggantikan Anglo-Malayan Defence Agreement (AMADA) yang berlangsung sejak 1957 sehingga 1970.Konsep ZOPFAN ini merupakan dasar untuk mencapai keamanan, kebebasan dan berkecuali yang pada mulanya merupakan projek yang digunakan oleh Tun Abdul Razak dalam menggubal semula dasar luar Malaysia.Matlamat dasar ini sebenarnya sukar dicapai kerana kejayaannya banyak bergantung kepada kerjasama dan restu kuasa-kuasa besar dunia seperti Amerika Syarikat, China dan Soviet Union.Langkah penting yang diambil untuk merealisasikan ZOPFAN adalah Southeast Asia Nuclear Weapon Free Zone (SEANWFZ) yang dianggotai oleh semua negara di Asia Tenggara.SEANWFZ merupakan langkah ataupun satu pakatan untuk mengurangkan ketegangan dan mencapai keamanan dan dan keselamatan di rantau ini di samping ingin bebas daripada senjata nuklear yang berbahaya.Walaupun respons daripada negara-negara yang terlibat agak lambat dan mengecewakan, namun akhirnya konsep ZOPFAN yang dipelopori oleh Tun Abdul Razak akhirnya diterima oleh ASEAN sebagai salah satu dasarnya.

       Era pentadbiran Tun Abdul Razak juga telah menyaksikan hubungan politik Malaysia dengan negara-negara Islam dijalankan secara lebih aktif.Sebagai sebuah negara yang menjadikan agama Islam sebagai agama rasminya,adalah perlu untuk Malaysia melahirkan perasaan simpati negara kepada negara Arab di Timur Tengah khususnya di Palestin.Walaupun usaha Malaysia dalam penyelesaian krisis di negara tersebut tidak mencapai kejayaan namun, kerajaan masih membenarkan sumbangan wang dikutip daripada masyarakat Islam untuk membantu saudara sesama Islam di Palestin.Selain itu, Malaysia juga mempertingkatkan hubungan dengan negara-negara Teluk seperti Arab Saudi dan Republik Sosialis Mesir walaupun ideologi dan sistem pemerintahan berbeza.Namun begitu, hubungan yang baik dapat juga dijalankan atas prinsip sesama Islam.Malaysia juga merupakan anggota kepada Organisation of the Islamic Conference (OIC) selepas usaha berterusan Malaysia dalam melebarkan hubungan luar dengan negara-negara Islam yang lain.

        Keberanian dan kesungguhan Tun Abdul Razak dalam menjalankan dasar luar sebelum itu dikatakan bertentangan dengan dasar luar yang dilakukan oleh Tunku Abdul Rahman telah menyerlahkan keupayaan sebenar Tun Abdul Razak sebagi seorang Perdana Menteri yang beribawa dan berkaliber.Tindakan Tun Abdul Razak untuk mengadakan hubungan dengan negara-negara Komunis telah banyak memabantu Malaysia mempertahankan kedaulatan dan keselematan negara.Dasr berkecuali dan menghormati semua negara tanpa mengira ideologi yang diamalkan merupakan strategi yang berkesan untuk memastikan kepentingan politik, keselamatan dan ekonomi terjamin.Personaliti Tun Abdul Razak yang lebih gemar berurusan dengan para pemimpin negara luar dalam susana yang tidak formal sebenarnya berkesan untuk mengambil hati dan seterusnya bersahabat dengan mereka.Hal ini demikian kerana, pendekatan yang dilakukan oleh Tun Abdul Razak sangat menyenangkan hati sebelum perbincangan secara rasmi diteruskan.Kebijaksanaan beliau dalam mengatur dasar luar Malaysia amatlah dikagumi dan boleh dikatakan mencapai kejayaan dengan cemerlang dalam pengurusan dasar luar sehingga timbul anggapan bahawa beliau merupakan pemimpin semua negara.

4.0 Huraikan pendekatan kerajaan Malaysia dalam menangani isu pendatang tanpa izin dalam negara Malaysia. (40 markah)

       Isu berkaitan dengan pendatang tanpa izin di Malaysia merupakan satu isu yang telah lama berlaku dan masih berlarutan sehingga sekarang.Menurut Mabatan Imigresen Malaysia maksud pendatang tanpa izin ialah mana-mana orang selain warganegara yang menyalahi undang-undang di bawah Seksyen 5 (2) iaitu masuk dan keluar Malaysia melalui jalan yang yang tidak dibenarkan dan tidak diwartakan, Seksyen 6 (3) iaitu masuk dan tinggal di Malaysia tanpa Pas atau Permit yang sah, Seksyen 8 iaitu imigran larangan, Seksyen 9 iaitu masuk dan tinggal di Malaysia setelah Pas atau permit dibatalkan oleh Pengarah Imigresen Malaysia, Seksyen 15 iaitu tinggal di Malaysia setelah permit dibatalkan ataupun tamat tempoh dan Seksyen 39 (b) iaitu melanggar syarat Permit atau Pas sempadan.Kesimpulannya, pendatang asing tanpa izin ialah orang-orang dari luar yang masuk dan tinggal di Malaysia secara haram dengan melalui sempadan negara dengan tidak mengikut undang-undang imigrasi yang ditetapkan.

        Pendatang tanpa izin biasanya masuk ke negara ini melalui dua cara utama iaitu melalui sempadan dan melalui perairan.Bagi mereka yang datang melalui sempadan, pencerobohan ini berlaku di sempadan bagi negara yang yang mempunyai sempadan darat atau sungai dengan negara jiran.Contohnya, pendatang asing daripada Kalimantan, Indonesia datang secara haram ke Sarawak dan Sabah melalui jalan darat melimpasi kedua-  dua negara.Bagi mereka yang datang melalui perairan, pendatang asing akan memasuki negara ini dengan menaiki kapal laut yang kemudiannya berhenti di persisiran dan para penumpang tanpa izin akan berenang untuk tiba di daratan.Oleh kerana sempadan perairan Malaysia begitu luas, maka mereka boleh datang dari pelbagai arah dan tempat.Akan tetapi, pada masa kini, para pendatang lebih mudah masuk ke negara ini tanpa perlu bersusah payah dan melalui sekatan imigresen yang ketat.Dengan adanya visa, mereka boleh menggunakan visa lawatan sosial dan visa pelajar untuk datang.Selepas mereka tiba, ada dalam kalangan para pelawat dan pelajar ini yang terus mencari kerja dan tidak pulang selepas visa mereka tamat.Maksudnya, pada mulanya mereka datang secara sah melalui visa, tetapi apabila visa tamat dan mereka tidak pulang maka mereka sudah menjadi pendatang asing tanpa izin.

         Pendatang asing tanpa izin datang ke Malaysia dengan beberapa sebab utama.Pertama, mereka datang untuk mencari hidup yang lebih baik kerana Malaysia menyediakan banyak peluang pekerjaan dalam industri  pembinaan dan pertanian.Perkembangan populasi sesebuah negara turut menyumbang kepada penghijarahan mereka selepas peluang pekerjaan di negara asal kurang, ditambah lagi dengan keadaan ekonomi negara asal yang tidak stabil.Mereka juga berhijrah ke Malaysia akibat daripada kemiskinan dan peperangan yang berlaku di negara asal mereka.Sebagai contoh, kemiskinan serta pergolakan yang berlaku di Pakistan, Myanmar dan Bangladesh telah menyebabkan rakyatnya terpaksa bermigrasi untuk mencari perlindungan dan pekerjaan untuk menyara hidup diri sendiri dan keluarga mereka di negara asal.

         Kesan kebanjiran pendatang asing tanpa izin di Malaysia telah dapat dilihat daripada dua sudut iaitu kesan positif dan kesan negatif.Kesan positif yang boleh didapati daripada kebanjiran pendatang ini dapat dilihat daripada sudut ekonomi.Pembangunan negara sejak kebelakangan ini berkembang dengan pesat dan membuka banyak peluang pekerjaan dalam sektor pembinaan dan pertanian.Oleh kerana penduduk tempatan kurang berminat dalam sektor ini, maka para pendatang tanpa izin telah mengambil peluang untuk bekerja dalam sektor ini.Hal ini demikian kerana, para majikan lebih suka mengupah para pendatang tanpa izin daripada buruh asing yang mempunyai permit kerja sah kerana lebih mudah untuk diurus, dan mereka sanggup bekerja walaupun dengan gaji yang murah.Akibat daripada keadaan ini maka ekonomi negara semakin maju kerana pembangunan dan pertanian yang produktif dengan adanya pekerja-pekerja asing ini.

       Sementara itu, kesan negatif akibat daripada kebanjiran pendatang tanpa izin ini lebih banyak daripada kesan positif.Salah satu kesannya ialah keselamatan sosial masyarakat tempatan kita terancam.Hal ini disebabkan oleh aktiviti jenayah yang dilakukan oleh sebilangan pendatang yang ingin mencari rezeki dengan mudah.Contohnya, mereka menjadi pengedar dadah, merompak dan membunuh.Mereka juga menjadikan wanita tempatan sebagai sasaran untuk merogol dan menyebabkan banyak mangsa trauma sepanjang masa.Kebanyakan kes pecah rumah juga adalah akibat daripada angkara pendatang tanpa izin menyebabkan penduduk tempatan hidup dalam ketakutan.Kes-kes pendatang asing mati ditembak dalam serbuan polis bukanlah sesuatu yang luar biasa, malah tentera kita juga terpaksa dikerah ke perairan Semporna, Sabah untuk menghadapi pendatang atau lanun Filipina yang mempunyai senjara canggih untuk merompak dan menculik orang.

       Penyakit-penyakit berbahaya juga akan merebak dengan meluas. Buruh asing yang sah akan dikenakan pemeriksaan kesihatan. Sebaliknya, pendatang asing tanpa izin tidak berbuat demikian. Banyak antara mereka berasal dari kawasan mundur di negara asal mereka. Kesihatan mereka kurang terjamin. Ada antara mereka menghidap AIDS, tibi, penyakit kelamin, dan sebagainya. Akibatnya, rakyat kita menjadi mangsa. Statistik telah menunjukkan bilangan rakyat yang menghidap penyakit tibi meningkat semula. Banyak pendatang asing tanpa izin juga disahkan sebagai pembawa kuman HIV dan hepatitis. Hubungan mereka secara seksual dengan pelacur tempatan akan mempercepat jangkitan AIDS.
         
            4.1 Penguatkuasaan dan Serbuan
       Persoalannya, adakah kerajaan Malaysia tidak mengambil peduli tentang masalah ini?.Sebenarnya kerajaan Malaysia yang prihatin telah melakukan banyak usaha untuk mengatasi masalah ini.Saban tahun pihak berkuasa seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Imigresen dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) kerap kali melakukan serbuan dan tangkapan sama ada di darat ataupun di perairan untuk membanteras kedatangan pendatang asing tanpa izin ini.Pendatang asing yang ditahan akan ditempatkan di kem tahanan sementara dan menunggu proses untuk pengantaran balik ke negara asal.Akan tetapi, masalah pula timbul apabila pihak kedutaan negara terbabit enggan bekerjasama dalam urusan mengeluarkan dokumen perjalanan sementara proses penghantaran balik warga mereka.Kedutaan asing juga tidak mahu membayar kos penghantaran balik warga mereka menyebabkan banyak wang, tenaga dan masa kerajaan terbazir dalam usaha mencegah kemasukan pendatang asing ini.

4.2. Program 6 P
        Selain itu, program terbaru yang dilaksanakan oleh kerajaan dalam usaha membanteras pendatang asing tanpa izin ini ialah program yang dikenali sebagai 6 P ataupun Program Penyelesaian Menyeluruh Pekerja Asing dan Pendatang Tanpa Izin.Program 6 P iaitu pendaftaran, pemutihan, pengampunan, pemantauan, penguatkuasaan dan pengusiran ini telah dilaksanakan secara pentadbiran bermula sejak 11 Julai 2011 dan berakhir sepenuhnya pada 10 April 2012.Program ini merupakan satu pakej program yang menggabungkan beberapa syor yang dikemukakan oleh Makmal Pengurusan Warga Asing (MPWA) sebagai pendekatan terkini yang diambil oleh kerajaan dalam memantapkan pengurusan warga asing di Malaysia.Pelaksanaan peringkat pertama program ini telahpun bermula sejak 11 Julai 2011 iaitu pendaftaran selama dua minggu.Sebaik sahaja selesai pendaftaran, maka peringkat seterusnya iaitu peringkat pemutihan dan pengampunan yang mengambil masa selama tiga bulan dan disusuli oleh pemantauan selama seminggu.Penguatkuasaan dan pengusiran akan dilaksanakan bagi peringkat seterusnya sekiranya masih ada pendatang asing yang masih tinggal secara haram di negara ini selepas berakhirnya program 6 P ini.

        Dalam program ini, terdapat empat kategori warga asing yang perlu mendaftar dan didaftarkan iaitu pertama, semua warga asing yang telah masuk di Malaysia tanpa izin dan kini tinggal dan bekerja secara tidak sah, kedua, semua warga asing yang masih tinggal di Malaysia selepas pas atau permit kerjanya tamat tempoh atau dibatalkan, ketiga, semua warga asing yang  menyalahguna permit masuk, pas atau dokumen perjalanan yang dipalsukan dan semua warga asing yang melanggar syarat pas atau permit seperti yang ditetapkan oleh undang-undang Malaysia.Secara asasnya, berikut adalah proses yang akan berlaku pada setiap peringkat:

Peringkat 1: Pendaftaran
Pada peringkat ini, proses pendaftaran akan dilaksanakan untuk tujuan mendaftarkan pebdatang asing tanpa izin (PATI) di Malaysia, dan menerusi kaedah ini, Kerajaan berpeluang mendapatkan maklumat majikan PATI, selain rekod peribadi serta data biometrik PATI yang merupakan elemen teras bagi rasional pelaksanaan program ini. Tindakan ini selari dengan inisiatif Kerajaan untuk mewujudkan pangkalan data komprehensif bagi setiap warga asing di Malaysia, sekali gus membolehkan proses pemantauan dilaksanakan secara lebih berkesan, termasuklah usaha membabitkan penyelesaian dalam menangani isu pemalsuan identiti serta dokumen yang selama ini mudah dipalsukan akibat tiada rekod biometrik.

           Peringkat  2: Pemutihan
Pada peringkat ini, setiap PATI yang telah berdaftar menerusi program ini akan dikenal pasti jika wujud keperluan untuk mengekalkan mereka dalam sektor tertentu yang mempunyai penawaran kekosongan kerja membabitkan pekerja asing. Jika hasil pertimbangan mendapati PATI yang terbabit sesuai untuk mengisi kekosongan tersebut, maka mereka akan diputihkan dan seterusnya dijadikan pekerja asing yang sah dengan senarai majikan yang berdaftar. Bagaimanapun, proses pemutihan ini hanya akan dipertimbangkan untuk sektor serta negara sumber yang tersenarai dalam dasar penggajian pekerja asing dan yang pernah diberikan kebenaran khas kerajaan termasuk sub-sektor yang sedang dibekukan. Pada masa yang sama, proses pemutihan ini juga akan mengambil kira kelayakan majikan berdasarkan keperluan semasa mengikut sektor dan sub-sektor yang akan ditentukan oleh kementerian/agensi kawal selia.
          
           Peringkat  3: Pengampunan
Pada peringkat ini PATI yang tidak tersenarai untuk diputihkan, atau PATI yang secara sukarela memilih untuk pulang ke negara asal mereka masing-masing akan diampun dan dibenarkan pulang atas kos sendiri tanpa dikenakan sebarang bentuk tindakan. Bagaimanapun, pengampunan ini hanya terhad kepada PATI yang melakukan kesalahan imigresen sahaja.

Peringkat  4: Pemantauan
Pada peringkat ini, naziran ke premis-premis majikan seluruh negara akan dilakukan untuk memberi nasihat kepada majikan, selain pada masa sama menerangkan implikasi tindakan undang-undang sekiranya mereka didapati melindungi pekerja berstatus PATI yang tidak berdaftar dengan Program 6P. Antara lain, majikan serta PATI yang berkenaan boleh dikenakan tindakan di bawah peruntukan Akta Anti Pemerdagangan Orang 2007 (Pindaan 2010) dan Akta Imigresen 1959/63 yang boleh membawa kepada hukuman denda sehingga RM1 juta.

Peringkat  5: Penguatkuasaan
Pada peringkat ini, operasi penguatkuasaan bersepadu akan dilaksanakan secara besar-besaran dan digerakkan dengan tujuan untuk mengesan serta menangkap PATI serta majikan yang dikenal pasti masih melakukan kesalahan imigresen.

Peringkat  6: Pengusiran
Di peringkat terakhir ini, PATI yang telah ditangkap melalui operasi penguatkuasaan bersepadu akan dikenakan tindakan undang-undang sebelum diusir keluar dari Negara ini. Oleh kerana kos bagi proses pengusiran ini ditanggung menggunakan peruntukan Kerajaan, maka setiap PATI yang diusir akan turut sama disenaraihitamkan daripada kebenaran untuk masuk semula ke negara ini.

           4.3 Penubuhan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI)
       Akhir sekali, kerajaan juga telah memutuskan untuk menubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) bagi menangani masalah pendatang asing tanpa izin di Sabah.Mengikut anggaran, terdapat seramai 500 000 orang pendatang tanpa izin yang berada di Sabah sekarang.Suruhanjaya ini  ditubuhkan dengan tujuan untuk mengenalpasti cara terbaik untuk menyelesaikan masalah ini demi untuk kesejahteraan dan keharmonian penduduk di samping menyelesaikan pelbagai masalah seperti kes jenayah, penculikan dan sebagainya yang sering menjadi masalah utama yang ditimbulkan oleh pendatang tanpa izin khususnya di Sabah.

        Kesimpulannya, kerajaan memang komited dan prihatin terhadap masalah pendatang asing tanpa izin dan mengambil pelbagai inisiatif untuk menyelesaikan masalah ini.Kebanjiran pendatang asing tanpa izin di negara ini sememangnya mampu memberikan sumbangan dalam bidang pembangunan dan ekonomi negara tetapi ternyata, lebih banyak kesan negatif yang dilakukan oleh para pendatang asing ini.Ini termasuklah peningkatan kes jenayah, salah laku moral dan penyebaran pelbagai jenis penyakit berjangkit di negara ini.Oleh itu, demi untuk kesejahteraan dan keharmonian rakyat tempatan, maka masalah ini haruslah diselesaikan dengan segera supaya kesan-kesan negatif tersebut dapat diatasi.

 5.0 Kesimpulan
        Sejarah perkembangan dasar luar Malaysia telah bermula semenjak kemerdekaan lagi.Dasar ini telah dimulakan oleh Perdana Menteri Pertama Malaysia iaitu Tunku Abdul Rahman yang pada masa itu lebih bersifat pro-Barat.Era dasar luar Malaysia diteruskan lagi dengan pelbagai perubahan yang dibuat terutama pada zaman pentadbiran Tun Abdul Razak yang begitu aktif dalam melakukan hubungan diplomatik dengan negara luar termasuklah negara-negara komunis seperti China, Soviet Union dan Vietman Utara.

        Walau bagaimanapun, sebelum seseorang pemimpin itu mengadakan hubungan diplomatik dengan negara luar, pemimpin tersebut haruslah menggubal dasar luar yang menguntungkan negara dari sudut keselamatan dan pertahanan, ekonomi dan sebagainya.Dengan mengambil kira pelbagai aspek, terutamanya keselamatan negara.Malaysia mengamalkan dasar berkecuali, mengutamakan keamanan dan menghormati kedaulatan negara lain.Dasar ini menyebabkan Malaysia tidak terlibat dalam apa-apa konflik seperti peperangan dan sebagainya.Oleh yang demikian, para pemimpin negara haruslah bijak dalam menentukan dasar luar negara supaya tidak lari daripada prinsip asal.


        Akhir sekali, isu yang berkaitan dengan pendatang asing tanpa izin (PATI) juga haruslah diberikan perhatian dengan serius supaya negara ini tidak dibanjiri dan dicemari dengan jenayah dan aktiviti negatif lain yang dilakukan oleh para PATI ini.Langkah penguatkuasaan yang diambil serta beberapa program terbaru seperti program 6P dan penubuhan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) bagi menyelesaikan masalah ini disambut baik oleh pelbagai pihak dengan harapan masalah ini dapat diatasi dengan segera.

Comments

Popular posts from this blog

Sejarah Perkembangan Pendidikan di Malaysia

Pembangunan Sukan Paralimpik Di Malaysia