Tugasan 1 PPISMP: Pengantar Sejarah

          1.0  Pendahuluan
Sejarah merupakan satu pengajian yang meliputi ruang lingkup yang sangat luas. Sejarah juga dianggap sebagai sebagai satu cabang ilmu yang sangat penting kepada manusia dari aspek sosial, ekonomi dan politik. Sejarah mempunyai tafsiran yang luas dan pelbagai, mengikut seseorang ahli sejarah yang membuat tafsiran tentang sejarah. Pada pendapat saya, sejarah merupakan satu peristiwa masa lalu yang benar-benar berlaku.Pendapat ini disokong oleh seorang ahli sejarah Jerman iaitu Leopold von Ranke. Beliau menyatakan bahawa sejarah adalah satu peristiwa yang benar-benar berlaku tanpa berlaku unsur tokok tambah1. Pendapat Ranke ini juga disokong oleh seorang lagi ahli sejarah iaitu Shefer yang menafsirkan sejarah sebagai peristiwa yang telah dan benar-benar berlaku.2. Sementara itu, salah seorang ahli sejarah pada kurun ke-20, iaitu R.G Coollingwood pula menakrifkan sejarah sebagai sebuah bentuk penyelidikan tentang hal-hal yang berlaku pada masa lampau3. Beliau juga menyatakan bahawa adalah menjadi tugas dan kewajipan seseorang ahli sejarah untuk membuat kajian atau penyelidikan ke atas sesuatu kejadian sejarah yang berlaku pada masa lampau.Jadi, Coolingwood juga mengatakan bahawa sejarah itu adalah sejarah pemikiran dan maknanya, ahli sejarah perlu menulis atau memaparkan kejadian sejarah yang berlaku pada masa lampau berdasarkan pemikiran ahli sejarah tersebut.Setelah melihat dan meneliti pandangan ahli-ahli sejarah tersebut, maka saya membuat kesimpulan bahawa sejarah itu adalah perkara atau kejadian yang benar-benar terjadi pada masa lampau dan ahli sejarah berperanan untuk menulis dan memaparkan kejadian itu setelah mereka membuat kajian atau penyelidikan secara menyeluruh terhadap sesuatu kejadian sejarah tersebut.

2.0 Apakah itu fakta sejarah?
Fakta sejarah merupakan bukti kukuh yang menunjukkan berlakunya sesuatu peristiwa masa lampau dan menjadi panduan bagi ahli sejarah dalam penulisan sejarah.Dalam erti kata lain, fakta sejarah ialah nadi ataupun tulang belakang bagi penulisan sejarah dalam menyokong segala hujahan dan teori-teori yang wujud.Tanpa fakta, sesebuah penulisan itu hanya menjadi karya falsafah, ataupun logik, ataupun karya kreatif atau sastera.Fakta juga merupakan apa yang tergambar ialah adanya satu hakikat yang stabil, kukuh, terbukti dan tidak boleh dipersoalkan mahupun digugat kebenarannya4.Fakta sejarah tidak sama dengan fakta sains kerana fakta sejarah tidak boleh diulang dan berulang kembali. Menurut Louis Gottschalk pula, fakta sejarah boleh ditakrifkan sebagai “suatu yang tertentu didapatkan secara langsung ataupun tidak langsung dari dokumen sejarah dan selepas ia diuji mengikut kanun-kanun kaedah sejarah maka ia boleh dianggap sebagai boleh dipercayai.5” Seharusnya, fakta sejarah juga harus dicatatkan seperti yang sebenarnya berlaku.Contohnya, tarikh 16 September 1963 iaitu Hari Malaysia merupakan satu fakta yang tepat dan dicatat seperti yang sebenarnya berlaku kerana peristiwa tersebut dianggap penting, bermakna, mempunyai kaitan dengan seseorang individu, institusi, masyarakat, kerajaan dan sesuatu bangsa.Pada pendapat saya pula, proses pemilihan fakta sejarah bergantung kepada pengkajinya kerana sesebuah fakta yang dipilih belum tentu dianggap sebagi fakta yang penting dan benar oleh orang lain.Pendek kata, sejarah itu merupakan tafsiran yang dilakukan oleh ahli sejarah yang dianggapnya penting dan pemilihan fakta-fakta sejarah adalah bergantung kepada akal fikiran ahli sejarah tersebut.Makudnya, seseorang ahli sejarah itu bebas memilih fakta yang diingini serta bebas membuat tafsiran terhadap fakta-fakta yang dipilihnya.

      Seorang ahli sejarah iaitu Carl Becker menyokong hujahan ini apabila beliau menyatakan bahawa “ penulisan sejarah itu bergantung kepada ahli sejarah itu sendiri yang mempunyai akal fikiran, tujuan, pemilihan dan kecenderungan yang berasaskan pengalamannya pada zaman tertentu.6” Pada pandangan saya pula berdasarkan hujahan Becker tersebut, pengalaman zaman kehidupan seseorang ahli sejarah juga mempengaruhi pemilihan fakta-fakta sejarah tertentu kerana sejarah itu berbentuk relatif dan kebenarannya tidak mutlak mengikut perubahan masa dan zaman.Dari sudut lain pula, Carl Becker juga ada mengatakan bahawa fakta itu bukan semata-mata suatu tarikh tentang sesuatu peristiwa sahaja, tetapi sebagai lambang yang mewakili sesuatu peristiwa ataupun sesebuah gagasan. Sebagai suatu lambang, ia adalah suatu “penyeluruhan bagi seribu satu macam fakta yang lebih kecil7.” Ini bermaksud, fakta-fakta “kecil” yang terdapat dalam sesuatu peristiwa sejarah itu boleh dianggap sebagi pengesahan untuk mendapatkan fakta-fakta yang lebih luas.Contohnya, apabila Kesultanan Melayu Melaka  jatuh ke tangan Portugis, timbul beberapa persoalan yang mendatangkan kepada kehadiran fakta-fakta kecil seperti bilakah serangan itu bermula? Atau apakah jenis senjata yang digunakan?.Setiap jawapan daripada soalan-soalan tersebut mempunyai kaitan dan menyokong antara satu dengan yang lain untuk menghasilkan fakta yang lebih luas pengertiannya.Kesimpulannya, fakta sejarah itu terletak di fikiran setiap ahli sejarah yang mengkaji sesuatu peristiwa sejarah dan fakta ini lahir melalui tanggapan pemikiran kita terhadap sesuatu peristiwa yang penting.Seseorang ahli sejarah itu juga bebas untuk memilih fakta yang hendak ditafsirkannya.

          3.0 Bagaimanakah fakta sejarah itu diperolehi?
Bagi menghasilkan penulisan sejarah yang mantap, seseorang ahli sejarah perlu mempunyai kemahiran mengesan sumber dan seterusnya mendapatkan fakta-fakta yang sahih untuk dijadikan bahan penulisan yang berkualiti. Tanpa sumber, ahli sejarah akan menghadapi kesukaran untuk menyelesaikan persoalan yang timbul dalam penyelidikan mereka kerana dari sumberlah ahli sejarah boleh mendapatkan fakta-fakta yang diperlukan.Sumber mempunyai pengertian yang amat luas dan mempunyai pelbagai sifat yang perlu ditafsir secara jelas dan tepat.Sumber sejarah merujuk kepada kepada sekumpulan bahan-bahan sejarah yang wujud hasil daripada peristiwa-peristiwa zaman lampau. Sumber sejarah boleh terdiri daripada sekumpulan bahan-bahan yang tersimpan di tempat-tempat khusus seperti arkib, perpustakaan, muzium, pejabat-pejabat menyimpan rekod, istana ataupun rumah orang perseorangan.8 Sumber boleh dikategorikan kepada tiga bahagian iaitu, sumber berbentuk, sumber bertulis dan sumber lisan.Sumber berbentuk ialah sumber tinggalan arkeologi seperti Piramid Mesir, sumber bertulis pula ialah sumber yang terdiri daripada hasil-hasil tulisan pelaku sejarah seperti dokumen kerajaan dan sumber lisan pula melibatkan proses menyoal atau menemuramah orang perseorangan atau saksi yang terlibat secara langsung atau menyaksikan sesuatu peristiwa bersejarah. Terdapat empat jenis sumber sejarah iaitu sumber primer, sumber sekunder, sumber lisan dan yang terakhir, sumber arkeologi.Sumber primer adalah punca utama untuk memahami sesuatu peristiwa sejarah yang lalu.Menurut Louis Gottschalk, sumber primer adalah sumber-sumber yang diperolehi daripada saksi-saksi dalam bentuk tulisan, catatan dan juga saksi utama sesuatu peristiwa.9 Sumber primer ini amat penting berbanding dengan sumber-sumber lain kerana sumber ini bersifat asli dan belum diolah atau ditafsirkan.Sumber ini juga merupakan sumber yang mengandungi fakta-fakta yang tepat.Penulisan sejarah yang baik dan berkualiti adalah berdasarkan kepada sumber primer kerana sumber ini mampu memberikan gambaran yang dekat kepada ahli sejarah dalam memahami peristiwa sejarah.Secara ringkasnya, sumber primer ibarat bahan mentah yang belum diproses.Selalunya, sumber primer ini susah untuk ditemui dan hanya berada di tempat-tempat tertentu sahaja.Contohnya, dokumen-dokumen negara kita semasa penjajahan British berada di Pejabat Tanah Jajahan di London. Terdapat juga sumber primer yang langsung tidak diketahui lokasinya dan ini selalunya menjadi masalah buat ahli sejarah untuk membuat penulisan sejarah yang lengkap.Sementara itu, sumber sekunder atau sumber kedua pula merupakan sumber yang telah diproses, ditafsirkan dan dinilai oleh ahli sejarah berdasarkan kepada sumber primer.Sumber sekunder biasanya merupakan tafsiran, kesimpulan dan andaian seseorang ahli sejarah terhadap peristiwa sejarah yang dikajinya berdasarkan sumber primer.Kebiasaannya, sumber sekunder boleh didapati dalam bentuk buku-buku sejarah, jurnal, rencana, disertasi dan jurnal.Sumber sekunder ini mudah didapati dan mudah diakses oleh sesiapa sahaja.Sumber lisan pula ialah kaedah pengumpulan fakta-fakta sejarah yang belum dikajidan dirakam semula.Selalunya, kaedah ini melibatkan proses soal jawab atau temuramah dengan pelaku atau saksi sejarah.Ini melibatkan gambaran ingatan seseorang, kertas, surat ,diari, gambar dan sebagainya.
Seterusnya, sumber arkeologi juga merupakan salah satu sumber yang penting untuk membolehkan ahli sejarah mendalami peristiwa sejarah lampau dengan memperpanjangkan lagi jarak masa sesuatu peristiwa sejarah seperti zaman prasejarah.

         Bukti-bukti arkeologi boleh dibahagikan  kepada dua iaitu, bukan artifak dan artifak. Arkeologi bukan artifak lebih merujuk kepada tinggalan alam sekitar ataupun ekofak.Sumber arkeologi artifak pula lebih merujuk kepada artifak yang dibuat dan diubah suai oleh manusia seperti batu, tembikar dan senjata.Ahli sejarah juga mempunyai pandangan tertentu tentang maksud sumber sejarah.Misalanya E.H.Carr yang mengertikan sumber sejarah boleh terdiri daripada sekumpulan fakta-fakta yang telah diteliti dan dipastikan.10 Jika mengambil pengertian yang dibuat oleh Carr ini, saya berpendapat bahawa sememangnya sumber sejarah dan fakta sejarah berkait rapat antara satu dengan yang lain. Ahli sejarah harus mempunyai kemahiran mencari sumber sebelum mendapatkan  fakta daripada sumber tersebut, terutamanya sumber primer.Proses mencari sumber bukannya sesuatu kerja yang mudah kerana mengambil masa yang lama dan kadang-kadang sampai bertahun-tahun untuk menjumpai sumber tertentu.Selepas mendapatkan sumber, ahli sejarah perlu mahir untuk mencari fakta-fakta yang terdapat dalam sumber primer dan juga perlu tahu untuk memilih fakta yang berkaitan sahaja. Selepas mendapatkan fakta, ahli sejarah harus ada kemahiran untuk mentafsirkan fakta-fakta tersebut.Dalam proses ini, kebanyakan ahli sejarah tidak sependapat dan mempunyai cara yang berbeza untuk mengkaji,  mendapatkan dan mentafsir fakta-fakta tersebut. Oleh itu, sebagai seorang ahli sejarah, mereka haruslah mempunyai kemahiran yang tinggi untuk mendapatkan sumber dan mentafsir fakta supaya penulisan sejarah yang berkualiti dapat dihasilkan serta mampu mengelakkan perdebatan dalam kalangan ahli sejarah tentang kandungan penulisan yang dibuat.

          4.0 Sejauh manakah fakta sejarah itu dapat diterima?
Pertikaian dan perdebatan yang selalu berlaku dalam kalangan ahli sejarah meninbulkan persoalan sejauh manakah fakta sejarah itu dapat diterima.Untuk menyelesaikan perdebatan ini, ahli sejarah perlu berhati-hati semasa membuat tafsiran ke atas sesuatu fakta sejarah.Ahli sejarah seharusnya sentiasa mempunyai keraguan akan kesahan hasil penulisannya supaya supaya ahli sejarah lain tidak akan mempersoalkan hasil penulisan seseorang ahli sejarah.Oleh itu, sesorang ahli sejarah itu haruslah membuat kritikan terhadapa hasil penulisannya supaya penulisan yang dihasilkan benar-benar berkualiti.Mengkritik sumber sejarah bukanlah sesuatu yang mudah bagi bagi ahli sejarah.Mengkritik sumber merupakan satu tugas berat kerana melibatkan pengujian dari segi kebenaran sumber tersebut.Pernyataan ini disokong oleh Gottschalk yang menegaskan bahawa kritikan luar mesti dilakukan ke atas sumber itu.Sementara itu, Ernst Bernheim telah membahagikan proses kritikan kepada dua iaitu kritikan luar dan kritikan dalam ke atas sumber tersebut.Menurut Bernheim, kritikan luar adalah usaha yang dilakukan oleh penyelidik sejarah untuk mengesan ketulenan atau kesahan sesuatu sumber sejarah.Kritikan dalam pula adalah tugas ahli sejarah untuk melakukan pentafsiran ke atas isi-isi sumber yang telah disahkan ketulenannya pada peringkat kritikan luar.11 Menurut  Marc Bloch pula, proses kritikan berpunca dari sikap sangsi penyelidik sejarah terhadap maklumat yang diberikan oleh saksi-saksi mengenai peristiwa masa lampau.Kaedah kritikan bukti ini mendorong penyelidik untuk membuat tafsiran bukti bagi mencapai ujian kebenaran.12 Setelah ahli sejarah selesai membuat kritikan luar dan kritikan dalam, maka ahli sejarah akan memulakan penulisan mereka.Penulisan yang dibuat pula haruslah berdasarkan pemikiran mereka sendiri dan semasa membuat penulisan, ahli sejarah boleh melihat kembali peristiwa sejarah dengan bantuan fakta-fakta yang telah diperolehi supaya penulisan yang dibuat akan berkualiti.
          
           Melakukan proses kritikan dalam juga membantu menentukan sejauh mana fakta itu dapat diterima.Kritikan dalam juga bermaksud melihat isi kandungan sesuatu sumber dengan melihat dari segi kerasionalan dan kelogikan isi kandungan dapat diterima atau tidak.Ahli sejarah haruslah melihat isi tersurat dan isi tersirat sesuatu sumber tertentu supaya ahli sejarah boleh mengetahui dengan lebih lanjut tentang asal usul sumber dan proses ini mengambil masa yang lama.Tafsiran terhadap satu perkataan akan mengetahui isi tersurat dan tersirat.Setelah maksud tersurat dan tersirat diperolehi maka kesangsian terhadap isi kandungan sumber akan berkurangan.Sesebuah fakta yang dikemukakan sememangnya sukar untuk diterima terus oleh ahli sejarah kerana perbezaan cara, pendapat dan kepercayaan mereka.Daripada keadaan ini, maka wujudlah sejarah yang objektif dan subjektif.Aliran subjektif selalu wujud amalan berat sebelah apabila ada fakta yang memihak kepada golongan tertentu sahaja.Amalan ini ditentang oleh aliran objektif yang menyokong sejarah itu ditulis seperti yang sebenarnya.

       Penerimaan fakta juga melibatkan unsur pengadilan moral terhadap sumber-sumber sejarah. Pengadilan moral bermaksud “apabila sejarawan didapati dengan sengaja atau tidak sengaja menilai atau menghukum sesuatu, baik dengan memuji atau mengejinya dengan menggunakan perkataan seperti baik, mulia, kejam atau ganas.” Kewujudan pengadilan moral bermaksud sesuatu fakta tersebut diragui kesahannya ataupun adakah wujud unsur berat sebelah dalam fakta tersebut.Sesiapa pun individu boleh menjatuhkan pengadilan moral terhadap sesuatu penulisan sejarah tanpa mengira siapa-siapa pun.

 5.0 Kesimpulan

Secara ringkasnya, saya boleh menyimpulkan bahawa fakta sejarah itu amat penting dalam penulisan sejarah yang baik dan berkualiti. Fakta-fakta sejarah pula boleh didapati dari sumber primer yang merupakan bahan mentah yang belum diproses dan ditafsir oleh ahli sejarah yang lain. Sementara itu, sumber sekunder hanya berperanan sebagai rujukan tambahan dalam penulisan.Selain itu, ahli-ahli sejarah juga harus mempunyai kemahiran tertentu seperti kemahiran mengumpulkan fakta dan kemahiran mentafsir fakta untuk digunakan dalam penulisan. Bukan semua fakta boleh diterima dan sekiranya berlaku kelemahan tafsiran fakta, maka wujudlah perdebatan dalam kalangan ahli sejarah untuk mengkritik sumber sejarah tertentu.Oleh itu, semasa membuat kajian, ahli sejarah haruslah berhati- hati dalam membuat tafsiran fakta supaya hasil penulisan tidak dipertikaikan oleh orang lain.

Comments

Popular posts from this blog

Sejarah Perkembangan Pendidikan di Malaysia

Pembangunan Sukan Paralimpik Di Malaysia