Esei Pendek: Pendidikan Zaman British

Menurut Sufian Hussin, sistem pendidikan pada zaman pemerintahan Inggeris tidak mempunyai matlamat dan objektif yang jelas. Berikan pandangan anda.

Sebelum kedatangan kuasa penjajah, pendidikan di Tanah Melayu berbentuk bukan formal dan tidak memberatkan perkembangan kongnitif para pelajar. Corak pendidikan yang ada pada ketika itu berjalan seperti biasa dengan pengajaran al-Quran, tingkah laku, dan akhlak yang baik, pengetahuan kerohanian dan seni mempertahankan diri. Ini termasuklah pelajaran awal dalam bidang kraftangan serta perintis dalam bidang pertanian, perikanan dan perburuan. Pendidikan pada zaman ini hanya menekankan pengetahuan asas dalam menjalani kehidupan seharian serta mencari keperluan hidup yang asas.
    
   Pada peringkat lebih teratur terdapat satu sistem pendidikan agama yang disebut 'sekolah pondok ' yang ditubuhkan dan dikendalikan oleh ulama-ulama Islam yang terkenal.Pelajar-pelajar menuntut di madrasah agama dan tinggal di pondok yang dibina di sekelilingnya. Peringkat kedua dalam perkembangan sistem pendidikan di Tanah Melayu berlaku semasa zaman penjajahan Inggeris (1824-1957).Pada peringkat ini pendidikan di Tanah Melayu telah dikelola, dikendalikan, dikawal dan diletakkan di bawah kuasa penjajah Inggeris tanpa mempunyai satu falsafah yang konkrit atau satu dasar pendidikan yang bersifat kebangsaan.Pentadbiran pendidikan di Tanah Melayu semasa ini adalah mengikut dasar penjajah iaitu "pecah dan perintah" serta dasar terbuka dan tiada campur tangan tentang pendidikan vernakular.
  
    Matlamat utama sistem pendidikan penjajah ialah semata-mata untuk memberi pendidikan kepada segolongan rakyat bagi membolehkan sebahagian mereka memenuhi keperluan tenaga dan ekonomi.Dengan itu, Inggeris mula memberi tumpuan besar kepada pelajaran Inggeris apabila British menubuhkan sekolah Inggeris yang pertama pada tahun 1816 iaitu Penang Free School. Walau bagaimanapun perhatian kepada pelajar Melayu hanya sekadar melepas ditangga sahaja, iaitu menunaikan kewajipan kepada anak watan sesuai dengan perjanjian Inggeris dengan pembesar-pembesar tempatan.Pendidikan pada peringkat ini telah berjalan secara ad hoc tanpa dibendung oleh satu garis panduan atau batasan-batasan yang konkrit. Ini adalah kerana pemerintah Inggeris tidak menggangap pendidikan sebagai satu pelaburan yang penting untuk meningkatkan kemahiran dan kebolehan rakyatnya bagi mencapai kemajuan.Sebaliknya mereka mengendalikan pendidikan di bawah dasar kebajikan benevolen (benovelent welfare policy). Oleh itu objektif pemerintahan Inggeris adalah bukan hendak mengubah atau memajukan struktur sosial tetapi sekadar menjadikan keadaan struktur sosial yang sedia ada itu sedikit efisien sahaja.
      
     Tegasnya, pendidikan pada zaman ini berkembang secara sewenang-wenangnya tanpa satu dasar yang jelas dapat membina dan memupuk unsur-unsur kebangsaan di kalangan rakyat. Akibat daripada dasar Inggeris tersebut maka wujudlah sistem pendidikan plural (plural educational system) sesuai dengan keadaan struktur masyarakat majmuk. Terdapat lima aliran bahasa iaitu bahasa Inggeris, Cina, Melayu, Arab dan Tamil.Sistem pendidikan plural ini tidak dapat menyemai serta memupuk semangat kebangsaan dalam kalangan penduduk yang berbilang kaum.Orientasi pendidikan yang sumbang ini telah menekan dan mengekalkan tumpuan taat setia rakyat pendatang kepada negara asal mereka.

     Selain itu, pendidikan zaman British juga dikatakan tidak mempunyai matlamat yang jelas kerana pihak pentadbir hanya menyalurkan bantuan kewangan kepada sekolah-sekolah Inggeris sahaja.Walaupun sekolah-sekolah Inggeris yang ditubuhkan mengamalkan dasar kemasukan secara terbuka kepada semua kaum tetapi hanya anak-anak golongan yang berada sahaja yang mampu bersekolah di sekolah tersebut.Hal ini menyebabkan jurang pendidikan antara pelajar yang berkemampuan dan pelajar dari desa-desa begitu ketara.British juga tidak mahu memberikan tumpuan kepada pendidikan di Tanah Melayu kerana mereka sedar bahawa pendidikan akan menyedarkan masyarakat tempatan dan takut masyarakat Tanah Melayu akan bersatu-padu menentang mereka.Apabila berlaku penentangan, maka matlamat penguasaan ekonomi British di Tanah Melayu juga akan terjejas.



Comments

Popular posts from this blog

Sejarah Perkembangan Pendidikan di Malaysia

Pembangunan Sukan Paralimpik Di Malaysia