Sejarah Perkembangan Pendidikan di Malaysia

1.0 Pendahuluan
Sistem pendidikan melalui sistem persekolahan merupakan elemen penting dalam membangunkan sesebuah negara dalam bidang ekonomi, politik dan sosial.Sistem pendidikan bukan sahaja berperanan untuk memberikan pendidikan kepada masyarakat semata-mata, bahkan menjadi wadah perjuangan untuk menyampaikan nilai-nilai murni dalam mencapai perpaduan kaum khususnya di negara kita, Malaysia.Sebagai sebuah negara yang terdiri daripada pelbagai kaum dan agama, pelaksanaan sistem pendidikan haruslah bersesuaian mengikut keperluan semasa masyarakat Malaysia.
Sistem pendidikan yang terbaik adalah sistem persekolahan yang meliputi seluruh kehidupan masyarakat Malaysia, di mana tidak terhenti apabila seseorang individu itu tamat pengajian di institusi-institusi pengajian tinggi.Pendidikan di Malaysia adalah sepanjang hayat dan perlu untuk meneruskan sumbangan dalam memartabatkan bangsa dan negara.Menurut Jean Jacues Rousseau, pendidikan adalah satu proses berterusan sejak dari peringkat kanak-kanak lagi.Dalam proses ini, segala kebolehan semulajadi lahir dengan sendirinya mengikut kehendak dan peraturan semulajadi (Mook Soon Sang, 2000). Masyarakat dan pendidikan haruslah bergerak seiring kerana pendidikanlah yang membentuk acuan seseorang individu tersebut.
Oleh yang demikian, penulisan ini akan membincangkan berkenaan sistem pendidikan di Malaysia yang telah mengalami perubahan dari zaman sebelum merdeka sehingga ke hari ini.Hal ini demikian kerana sistem dan dasar pendidikan di Malaysia sering mengalami perubahan terutamanya laporan-laporan pendidikan yang telah dikeluarkan.Selain itu, penulisan ini juga akan melakukan satu analisis terhadap sistem pendidikan tersebut serta membincangkan isu pelaksanaanya.

2.0 Latar Belakang Pendidikan di Malaysia.
Pengertian bagi pendidikan adalah sangat luas dan tiada satu penyataan maksud yang konkrit bagi pendidikan. R. S. Peters menjelaskan bahawa pendidikan merujuk kepada bukan proses khusus, sebaliknya ia merangkumi kriteria salah satu daripada kelompok proses, mesti menyesuaikan pengertian yang luas dan berbeza-beza.1 UNESCO pula berpendapat bahawa matlamat pendidikan adalah “untuk memberi khidmat perubahan dan transformasi sosial yang lebih luas.” Pendidikan digunakan dengan tujuan pembentukan dasar awam dengan hasrat untuk mencapai objektif sosial, politik dan ekonomi.
           Sebelum kedatangan British ke Tanah Melayu, sistem pendidikan masyarakat Melayu pada ketika itu adalah berlandaskan kepada pendidikan tidak formal dan pendidikan yang bersifat formal.Pendidikan tidak formal yang dimaksudkan ialah pendidikan yang berkisar kepada pembelajaran secara turun temurun yang diwariskan kepada generasi seterusnya.Hala tuju pendidikan ini adalah berdasarkan proses pembelajaran yang melahirkan insan yang berkemahiran dan berkebolehan dalam aspek teknik dan praktikal.Guru utama dalam pembelajaran ini adalah ibu bapa, ahli keluarga dan masyarakat sekeliling.Kanak-kanak pada zaman ini hanya mempelajari asas-asas kemahiran hidup seperti bercucuk tanam, bertukang dan   sebagainya untuk meneruskan kelangsungan hidup.
          Falsafah pendidikan yang ditekankan lebih cenderung untuk melahirkan generasi yang mempunyai kemahiran asas dalam hidup, mempunyai adab dan sopan, menghormati orang lain dan mempunyai kemahiran tinggi dalam semua bidang yang dipelajari (Hassan Langgulung, 1995).Selepas kedatangan agama Islam, sistem pendidikan berkembang sedikit dengan pembelajaran agama Islam dan bersifat formal.Maka, wujudlah institusi pondok dan madrasah untuk mempelajari bidang ilmu yang lebih luas.Menurut Wilkinson, murid di pondok mula belajar perkataan-perkataan Arab dan selepas menguasainya, mereka akan terus mempelajari dengan cara menghafal huruf abjad Arab supaya menjadi panduan membaca doa dan teks Arab (dalam Mook Soon Sang, 2000:1-2).
          Selain itu, mereka juga menjadikan masjid sebagai tempat untuk menuntut ilmu dan menghafal al-Quran, menghafal doa dan mempelajari ilmu agama.Guru utama adalah para imam dan ulama yang dianggap sebagai orang yang berpendidikan pada masa itu.Selepas itu, pendidikan ini terus berkembang dan hala tuju pendidikan pada peringkat ini berkesan untuk menjadi pendorong kepada kemajuan manusia dalam aspek kerohanian, pemikiran, moral dan keduniaan berdasarkan falsafah pendidikan Islam yang diterapkan dalam pembelajaran.
           Sewaktu zaman penjajahan Inggeris, perubahan yang ketara mula berlaku dalam sistem pendidikan negara.British telah memperkenalkan pendidikan yang berteraskan Inggeris, di mana sekolah-sekolah Inggeris ditubuhkan dan mengajar dalam bahasa Inggeris.Namun begitu, masyarakat Melayu tidak mendapat kesan yang positif kerana kebanyakan anak-anak Melayu pada ketika itu tidak mahir dalam berbahasa Inggeris.Selain itu, yuran yang mahal serta jarak sekolah juga menghalang masyarakat Melayu untuk menghantar anak mereka ke sekolah.2 Selain daripada sekolah-sekolah kerajaan yang dibina oleh British, wujud juga sekolah-sekolah mubaligh yang ditubuhkan oleh mubaligh-mubaligh Kristian secara persendirian.Namun begitu, masyarakat Melayu masih tidak mahu menghantar anak-anak mereka ke sekolah ini kerana takut dipengaruhi oleh agama Kristian.
           Sementara itu, kedatangan buruh-buruh dari China dan India yang dibawa masuk oleh British untuk memenuhi tuntutan pekerjaan dalam sektor perlombongan bijih timah dan estet-estet getah telah mewujudkan sekolah-sekolah dan sistem pendidikan mereka sendiri.Hal ini telah mewujudkan sistem pendidikan yang berasaskan bahasa ibunda ataupun pendidikan vernakular.Pendidikan ini berorientasikan keperluan identiti kaum masing-masing.Sekolah-sekolah vernakular ini bergerak dengan sendiri dan tidak wujud interaksi antara kaum kerana sekolah-sekolah Inggeris dan Cina terletak di bandar dan sekolah-sekolah India terletak di estet-estet dan diuruskan oleh organisasi masing-masing.
         Pihak British yang mengamalkan dasar pecah dan perintah sememangnya tidak menitikberatkan soal pendidikan masyarakat di Tanah Melayu pada ketika itu.Mereka hanya mewujudkan sekolah dan memperkenalkan sistem pendidikan untuk semata-mata untuk menjaga hati masyarakat tempatan atas dasar kebajikan sahaja.Sebagai contoh, sekolah Melayu yang ditubuhkan oleh British hanya menekankan pendidikan asas untuk menjadikan anak-anak Melayu sebagai petani yang baik sedikit berbanding ibu bapanya.Namun begitu, kurikulum asas seperti membaca, menulis dan mengira serta ilmu alam dan jasmani telah diperkenalkan oleh British sebagai pengetahuan sampingan.
          Hala tuju pendidikan zaman British ini tidak menampakkan keberkesanan yang positif kerana pihak British menyekat kemasukan pelajar Melayu ke sekolah Inggeris kerana mereka bimbang jika orang Melayu belajar dengan pandai, maka kedudukan mereka akan tergugat (Sufean Hussin 2002, 129).Pihak British juga tidak mahu orang Melayu, Cina dan India bersatu kerana boleh menggugat kedudukan dan kepentingan ekonomi mereka di Tanah Melayu.Oleh itu, British sengaja membuat dasar pendidikan bebas ataupun laissez-faire dan tidak mempunyai keseragaman.

3.0 Analisis Terhadap Sistem Pendidikan Sebelum Merdeka
Era penjajahan British dikatakan menjadi pemangkin kepada kesedaran tentang kepentingan pendidikan di Tanah Melayu kerana pendidikanlah yang telah membangkitkan semangat nasionalis dalam kalangan masyarakat untuk mencapai kemerdekaan.Hal ini demikian kerana pendidikan telah memberi peluang kepada masyarakat tempatan, khususnya orang Melayu untuk menimba ilmu yang akhirnya membawa kepada kesedaran tentang sebab dan akibat penjajahan.Tokoh-tokoh penggerak nasionalisme seperti Ahmad Boestamam, Ishak Haji Muhammad dan ramai lagi merupakan orang-orang yang berpendidikan dan seterusnya mempelopori kebangkitan semangat nasionalisme melalui penulisan dan sebagainya.
           Sementara itu, polarisasi kaum yang wujud di Tanah Melayu pada masa itu juga telah menyebabkan sistem pendidikan tidak selaras dan tidak mempunyai satu garis panduan yang tertentu.J.S Furnivall menyatakan bahawa:
‘… mereka bercampur gaul tetapi tidak bersatu padu. Setiap kumpulan ada agama, budaya dan bahasa, ideologi dan haluan sendiri. Mereka tinggal sebelah menyebelah tetapi terdapat perpisahan dalam unit yang sama …’ :J.S Furnivall. Colonial Policy and Practice, Cambridge University Press, London
             Masalah polarisasi telah wujud sejak zaman penjajahan British lagi. Pemerintahan mereka pada masa itu mempunyai dasar yang mengekalkan struktur kelas dan sosioekonomi kaum-kaum tertentu. Pihak British tidak menyediakan satu sistem persekolahan yang bersepadu. Sebaliknya mereka membiarkan kewujudan sistem pendidikan yang berbagai-bagai aliran termasuk aliran Inggeris, Melayu, Cina dan Tamil atau lebih dikenali sebagai sekolah vernakular.3 Tujuannya ialah untuk memenuhi keperluan sektor tertentu dalam ekonomi zaman berkenaan.Walaupun akhirnya bilangan penuntut meningkat dengan pengetahuan berorentasikan pendidikan Inggeris sehingga ke hari ini, namun peluang-peluang  menggunakan kelayakan tersebut sebagai mobiliti ke atas tidak terbuka kepada golongan rendah. Oleh itu, perbezaan kelas terus kekal dan dapat dilihat dan dirasai sehingga ke hari ini.
            Aliran sistem pendidikan dan sekolah-sekolah yang berbeza ini tadi melahirkan warganegara yang mirip kepada ideologi yang berbeza.Akar kolonialisme budaya bukan sahaja wujud dalam konteks pendidikan Inggeris tetapi lebih kukuh dan tebal sentimen perkaumannya melalui pendidikan Cina dan Tamil. Pendidikan Inggeris menguntungkan kaum bukan Melayu dan golongan ini menikmati lebih banyak peluang perubahan dan kemajuan dalam sistem kolonial yang masih tebal pengaruh dan kewibawaannya pada pra-Merdeka. Nilai ekonomi yang tinggi yang diberikan kepada pendidikan Inggeris bukan sahaja disebabkan peranan progresif sektor swasta yang mengutamakan penggunaan bahasa Inggeris dalam urus niaga dan perkhidmatan mereka tetapi disebabkan sokongan yang masih kuat yang diberikan oleh kerajaan dan masyarakat elit di negara ini bagi mengekalkan sistem pendidikan bahasa Inggeris.
           Polarisasi kaum pada masa itu merupakan masalah utama untuk mewujudkan satu sistem pendidikan yang selaras.Walaupun sudah terdapat kesedaran tentang kepentingan pendidikan, namun dengan perpaduan kaum yang tidak ada, maka usaha untuk memajukan pendidikan di Tanah Melayu juga mempunyai halangan.Masalah ini mendapat perhatian daripada British yang pada masa itu sedar bahawa lambat laun, mereka perlu memberikan kemerdekaan kepada Tanah Melayu.British juga sedar bahawa mereka tidak boleh memberikan kemerdekaan kepada Tanah Melayu sebelum perpaduan tercapai, maka syarat utama untuk merdeka adalah semua kaum di Tanah Melayu mestilah bersatu padu dan bersedia menerima sesame kaum terlebih dahulu.
           Oleh itu, dalam bidang pendidikan, British telah memperkenalkan Laporan Barnes sebagai langkah pertama untuk mewujudkan satu bentuk pendidikan yang bersepadu pada tahun 1950.Mengikut laporan ini, kewujudan sekolah vernakular tidak menyumbang kepada perpaduan kaum di mana syor Jawatankuasa Barnes adalah membubarkan sekolah-sekolah vernakular Melayu, Cina dan Tamil dan menggantikannya dengan satu jenis sekolah sahaja iaitu sekolah kebangsaan.Langkah yang diambil oleh British ini dilihat mampu  mencapai hasrat untuk mewujudkan perpaduan kerana murid-murid daripada tiga kaum utama tersebut akan mempunyai masa dan ruang untuk berinteraksi di satu sekolah yang sama.
           Namun begitu, Laporan Barnes 1950 ini mendapat tentangan daripada kaum Cina yang merasakan kedudukan mereka tergugat dan atas desakan kaum Cina, maka laporan Fenn-Wu pula dihasilkan pada tahun 1951 sebagai usaha dan bertujuan untuk mempertahankan kepentingan pendidikan kaum Cina.4 Masyarakat Cina takut kebudayaan dan bahasa mereka akan tergugat sekiranya syor dalam Laporan Barnes dilaksanakan.Oleh itu, atas dasar menjamin perpaduan dan kesejahteraan negara segala perubahan dalam sistem pendidikan diterima atas kehendak dan kepentingan rakyat.Untuk memastikan perpaduan dapat dicapai, maka dasar toleransi sangat perlu demi mencapai satu sistem pendidikan yang benar-benar selaras dan adil bagi semua kaum.
           Namun begitu, sehingga tahun 1956, Ordinan 1952 tidak menghasilkan perubahan yang besar kepada dasar pendidikan yang boleh memberikan kepuasan kepada semua pihak. Manakala kaum Cina telah terus menguruskan pendidikan mereka sendiri tanpa campur tangan kerajaan dan struktur persekolahan Melayu tinggal seperti sediakala.Pada tahun 1956, Laporan Razak telah diperkenalkan dengan matlamat untuk melahirkan sekolah yang berjiwa Tanah Melayu dengan menggunakan Bahasa Melayu sebagai pengantar.Laporan ini juga mencadangkan agar Bahasa Melayu dijadikan sebagai bahasa kebangsaan serta semua sekolah kebangsaan dibuka kepada semua bangsa.Penguasa Pelajaran Tempatan yang pada hari ini dikenali sebagai Kementerian Pelajaran ditubuhkan untuk mengelolakan semua sekolah di Tanah Melayu dan buat pertama kali, Jemaah Nazir ditubuhkan untuk meletakkan guru di bawah satu perkhidmatan profesional.
           Laporan Razak melambangkan Tanah Melayu telah melaksanakan dasar bertolak ansur, dasar perpaduan kaum, dasar demokrasi dan dasar kesejagatan. Laporan ini juga telah menunjukkan sistem pendidikan telah bertambah maju apabila bertambahnya bilangan murid, guru dan sekolah.Sebagai asas untuk melaksanankan usul Laporan Razak, suatu undang-undang diluluskan iaitu Ordinan Pelajaran 1957. Ini merupakan sejarah Malaya, di mana perancangan pendidikan dirangka untuk meliputi semua kaum dalam masyarakat Malaya serta meliputi semua aspek struktur dan perkembangan pendidikan Malaya. Laporan Razak telah menjadi asas perkembangan pendidikan di Malaysia selanjutnya.5

4.0 Perkembangan Sistem Pendidikan Selepas Kemerdekaan
Perkembangan sistem pendidikan di Malaysia selepas merdeka bermula pada tahun 1963 hingga 1975. Tahap pertamanya (1963-1965) pula menekankan perlaksanaan Akta Pelajaran 1961. Antara yang dilaksanakan dalam tahap pertama ini, termasuklah pemansuhan Peperiksaan Masuk Sekolah Menengah (1964), penubuhan sistem Pendidikan Aneka Jurusan (1965) dan penubuhan Pusat Latihan Daerah.
          Tahap kedua (1966-1970) pula dilaksanakan dibawah Rancangan Malaysia Pertama yang digubal untuk menyelesaikan masalah ekonomi dan sosial yang timbul pada masa itu. Antara yang dilaksanakan dalam tempoh ini termasuklah penubuhan Sekolah Menengah Teknik dan Vokasional, penyelarasan sistem pendidikan melalui Polisi Pendidikan Kebangsaan serta penubuhan Lembaga Peperiksaan Malaysia.
           Tahap ketiga(1971-1975) merupakan pengubahsuaian sistem pelajaran dan latihan untuk memenuhi keperluan-keperluan perkembangan ekonomi serta mengeluarkan lebih ramai tenaga kerja mahir bagi melancarkan perlaksanaan Dasar Ekonomi Baru. Antara yang ditekankan ialah peranan pendidikan dalam perpaduan(Rancangan Malaysia Kedua), penubuhan Rukun Negara dan Pusat Pengajian Sains. Dalam jangka waktu ini, ideologi negara bagi sistem pendidikan adalah Rukun Negara dan tumpuannya adalah sejajar dengan pembangunan negara.6 Aspek yang sangat penting dalam pendidikan iaitu berkaitan dengan etika turut ditekankan dalam Rukun Negara, iaitu ‘Kesopanan dan Kesusilaan’. Aspek ini sering diaplikasikan dalam banyak mata pelajaran yang diajar di sekolah-sekolah bagi mewujudkan para pelajar yang tinggi moral dan etika mereka.
          Jawatankuasa Kabinet Mengkaji Pelaksanaan Dasar Pelajaran ditubuhkan pada bulan September 1974 untuk mengkaji pelaksanaan sistem pelajaran kebangsaan bagi:
“Mengkaji semula matlamat dan berkesannya sistem pelajaran sekarang, termasuk kurikulumnya, dalam rangka dasar palajaran yang wujud, dengan tujuan untuk memastikan bahawa keperluan tenaga rakyat negara dapat dipenuhi sama ada dari segi jangka pendek mahupun jangka panjang, dan lebih-lebih lagi untuk memastikan bahawa sistem pelajaran itu dapat memenuhi matlamat negara ke arah melahirkan masyarakat yang bersatupadu, berdisiplin dan terlatih.” (Sumber: Education In Malaysia, 1980)
           Mengikut Laporan Kabinet pada tahun 1979 bagi peringkat sekolah rendah iaitu kurikulum, kemahiran adalah tertumpu kepada bidang komunikasi, alam sekitar, perkembangan diri yang menekankan aspek 3M dan perkembangan bakat, membantu murid yang lemah serta mengadakan program pengayaan, pengajaran pemulihan diperbaiki lagi.Kurikulum Baru Sekolah Rendah  (KBSR) dan Kurikulum Baru Sekolah Menengah (KBSM) dicadangkan pada tahun 1983 dan 1989 telah dilaksanakan di semua sekolah rendah dan menengah kebangsaan.KBSR dan KBSM mempunyai matlamat yang sama iaitu mempertingkatkan pendidikan dan sebagai alat untuk perpaduan nasional. Dasar Ekonomi Baru (DEB) tamat pada tahun 1990 dan digantikan dengan Dasar Pembangunan Negara (DPN) dari tahun 1991 sehingga 2000 di mana Malaysia telah merangka pendidikan bertaraf dunia.
           Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) memainkan peranan penting dalam membawa perubahan kepada sistem pendidikan negara. Misi kementerian ialah membangunkan sistem pendidikan yang berkualiti dan bertaraf dunia, di samping memperkembangkan potensi individu sepenuhnya dan memenuhi aspirasi negara.Pada tahun 2007, Tun Abdullah Ahmad Badawi telah melancarkan Pelan Induk Pembangunan Negar (PIPP) 2006-2010 yang bertujuan untuk melonjakkan tahap kecemerlangan sekolah, melahirkan rakyat Malaysia yang berilmu pengetahuan, berakhlak mulia, bertanggungjawab, berkemampuan dan dapat mengangkat semula imej pendidikan negara di mata dunia.Jika diteliti, ternyata hasrat kerajaan dalam PIPP membawa kepada perubahan kepada sistem persekolahan yang berperanan sebagai alat perpaduan.
          Selain itu, Sekolah Wawasan ditubuhkan untuk mewujudkan perpaduan dalam kalangan murid-murid yang berbagai bangsa dan latar belakang, memupuk integrasi antara pelajar dari pelbagai aliran, melahirkan generasi yang yang mempunyai sifat toleransi dan persefahaman yang tinggi dan menggalakkan interaksi maksimum antara semua warga sekolah melalui perkongsian kemudahan sekolah dan pelasanaan aktiviti-aktiviti lain di sekolah (Kementerian Pelajaran Malaysia, 2010). Melalui cara ini ternyata ia dapat membawa kesedaran yang tinggi kepada masyarakat tentang pentingnya perpaduan dan perlu dipupuk sejak dari kecil lagi.
           Kewujudan Sekolah Bestari dan Kluster juga menjadi perintis perubahan kepada sistem pendidikan di Malaysia. Sekolah Bestari merupakan sekolah yang ditubuhkan dengan teknologi canggih, dengan pengubahsuaian kurikulum agar selari dengan perkembangan pesat dalam era sains dan teknologi. Secara khususnya, objektif sekolah ini ialah melatih pelajar-pelajar supaya cerdas dan pandai menggunakan teknologi terkini dalam aktiviti pembelajaran. Mengikut perancangan kerajaan, Sekolah Bestari akan dilaksanakan di seluruh negara pada tahun 2010, namun begitu hasrat melihat kejayaan pelaksanaannya di seluruh negara masih tidak kesampaian. Sama seperti Sekolah Kluster dan Sekolah Wawasan, ia hanya Berjaya dilaksanakan di beberapa kawsan tertentu sahaja.

5.0 Isu-Isu dan Cabaran Pendidikan Semasa
Seperti yang kita ketahui, tanggungjawab sistem pendidikan adalah untuk menyediakan generasi muda dengan pelbagai pengetahuan dan kemahiran supaya mereka dapat menghadapi alam dewasa dengan berjaya. Dalam konteks menyediakan pendidikan yang ideal, tujuan dan matlamat pendidikan negara pada abad ini amat jelas sekali iaitu menyusun dan merancang untuk memperbaiki, memperkukuh dan mempertingkatkan mutu pendidikan negara sesuai dengan perubahan sosialisasi masyarakat hari ini. Salah satu unsur yang penting adalah memberikan peluang pendidikan yang adil kepada semua pelajar tanpa mengira budaya, kelas sosial, kelompok etnik dan cara hidup.
          Dalam buku Pembangunan Pendidikan 2001-2010 (KPM, 2001), Kementerian Pelajaran Malaysia menyatakan bahawa pembangunan pendidikan dari Zaman Dasar Pembangunan hingga ke Zaman Dasar Wawasan Negara telah berjaya mencapai banyak kemajuan khususnya dalam penyediaan infrastruktur, kemudahan pendidikan dan latihan perguruan. Strategi meningkatkan peluang pendidikan berjaya mencapai sasarannya. Walau bagaimanapun, apa yang dilihat pada masa ini masih terdapat pelbagai isu yang ditimbulkan berkaitan dengan pencapaian Dasar Pendidikan Kebangsaan, antaranya perkara berhubung sengan struktur pendidikan; akses kepada pendidikan; ekuiti; kualiti tenaga pengajar; ketidakseimbangan penyediaan infrastruktur; Pelaksanaan Program PPSMI; dan kurikulum yang tidak relevan.
           Memasuki tahun 2010, pendidikan di Malaysia juga bergerak seiring dengan keperluan semasa kerana masyarakat juga berubah disebabkan oleh arus pemodenan dan globalisasi. Namun begitu, Malaysia masih meneruskan pendidikan lama dengan mengekalkan Sekolah Kebangsaan (SK), Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) dan Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT). Isu-isu ini sering diperdebatkan dan sering kali dipengaruhi oleh politik tanah air sehingga tidak mencapai satu penyelesaian yang mengubah kepada satu sistem pendidikan yang baru.Isu ini juga merupakan isu sensitif bagi masyarakat majmuk di Malaysia kerana bukan senang untuk mencapai kata sepakat dalam menyelesaikan perkara ini. Sistem pendidikan seperti ini tidak banyak mengubah perpaduan kaum malah dilihat sudah tidak relevan untuk digunapakai dan sekiranya diteruskan, hubungan antara kaum menjadi semakin pudar.7
            Sehingga kini, masyarakat Malaysia belum bersetuju untuk melaksanakan sistem pendidikan satu aliran walaupun Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak bersedia untuk mempertimbangkan perkara ini. Sekiranya dilaksanakan, kerajaan perlu mengambil kira pandangan dan persetujuan rakyat berbilang kaum demi untuk mengelakkan berlakunya perbalahan. Masyarakat Cina dan India dilihat begitu mempertahankan sekolah jenis kebangsaan bagi memelihara dan menjamin bahasa dan budaya mereka tidak pupus. Idea pelaksanaan sistem pendidikan satu aliran ini bukan bertujuan untuk menghapuskan bahasa dan budaya, tetapi untuk memupuk perpaduan kaum yang masih menjadi masalah utama pendidikan sejak merdeka.Sekiranya sistem ini dilaksanakan, kerajaan menjamin supaya hak-hak bahasa dan budaya kaum Melayu, Cina, India dan kaum-kaum lain masih dikekalkan, malah ia akan terus menyemai perpaduan yang kukuh dalam kalangan masyarakat Malaysia.
            Isu seterusnya ialah isu pelaksanaan dasar Pengajaran Pendidikan Sains dan Matematik Dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) yang dilaksanakan pada tahun 2003 di bawah pentadbiran Tun Dr. Mahatir Mohammad.Tujuan dasar itu dilaksanakan adalah untuk memperkukuhkan penguasaan Bahasa Inggeris dalam kalangan masyarakat Malaysia.Namun begitu, setelah tujuh tahun dilaksanakan, dasar ini dimansuhkan pada tahun 2012 disebabkan timbulnya tentangan daripada pelbagai pihak, terutamanya orang Melayu. Antara sebab-sebab dasar ini mendapat bantahan ialah kerana bertentangan dengan Akta 152 Perlembagaan Malaysia,8 prestasi pelajar-pelajar Melayu dan pelajar luar bandar dalam mata pelajaran Sains dan Matematik merosot, kurang guru terlatih dan tentangan daripada pejuang-pejuang bahasa Melayu, tokoh akademik, ahli politik dan badan bukan kerajaan (NGO).
           Selain itu, masalah lain yang timbul ialah pengisian kurikulum dan aktiviti kokurikulum yang menjadi penentu kepada perkembangan murid-murid dan pelajar-pelajar (Awang Had Salleh, 1980).Hal ini penting kerana ia akan memberi kesan, sama ada positif atau negatif dalam pembentukan jati diri dan disiplin pelajar.Sekiranya pengisian kurikulum dan kokurikulum relevan dan menepati kehendak masyarakat, maka tidak wujud masalah-masalah. Tetapi oleh kerana terdapat kelemahan-kelemahan dalam pengisian kurikulum dan kokurikulm maka wujudlah reaksi-reaksi negatif yang kita dapat lihat dalam hubungan masyarakat.9 Contohnya, ibu bapa pelajar-pelajar Cina dan India tidak mahu menghantar anak mereka ke sekolah kebangsaan kerana tidak menawarkan bahasa Cina dan Tamil sebagai subjek wajib.Bagi mereka, bahasa ibunda adalah identiti yang harus dipelihara.
           Masyarakat perlu memahami bahawa penggubalan kurikulum dan kokurikulum dalam sistem pendidikan sedia ada adalah berlandaskan kepada keperluan pembentukan negara Malaysia sebagai sebuah negara demokrasi yang berbilang kaum, agama dan menjadikan negara maju ke hadapan.Kurikulum Baru Sekolah Rendah (KBSR) dan Kurikulum Baru Sekolah Menengah (KBSM) yang dilaksanakan pada tahun 1983 dan 1989 merupakan kurikulum yang bertujuan untuk menyatupadukan rakyat dan meningkatkan lagi pendidikan.Namun begitu, usaha untuk menyatupadukan rakyat masih perlu dipertingkatkan dan perlu penambahbaikan supaya hasrat perpaduan nasional yang utuh tercapai. Kurikulum baru yang diperkenalkan oleh kerajaan iaitu Kurikulum Standard Sekolah Rendah (KSSR) dan Kurikulum Baru Sekolah Menengah (KSSM) diharap berupaya untuk memperbaiki kelemahan-kelemahan dasar-dasar pendidikan yang terdahulu.
           Wawasan 2020 yang dicetuskan oleh Tun Mahatir Mohammad pada tahun 1991 merupakan perancangan masa depan yang menjadikan Malaysia menjadi negara maju menjelang 2020.Bagi mencapai tujuan tersebut, pendidikan merupakan faktor peneraju utama kerana pendidikanlah yang melahirkan generasi muda untuk mencapai wawasan tersebut.Dalam sektor pendidikan, sistem persekolahan yang sempurna menjadi pendekatan utama untuk melahirkan masyarakat yang bersatu padu.Untuk mencapai taraf negara maju, perpaduan dan kemajuan masyarakat elemen penting untuk memacu kejayaan sesebuah negara.Namun begitu, dengan situasi masyarakat dan negara sekarang, timbul persoalan dalam persediaan untuk menghadapinya.
            Masalah-masalah yang berkaitan dengan pendidikan bermatlamatkan perpaduan dapat diringkaskan melalui masalah isu berbangkit mengenai hak bumiputera dan bukan bumiputera, jurang pencapaian pendidikan antara orang Melayu dengan orang bukan Melayu melalui pekerjaan dan pendapatan, masalah keciciran pelajar Melayu dan bukan Melayu, kurang interaksi sosial antara Melayu dan pelajar bukan Melayu terutamannya selepas waktu persekolahan, kurang memahami sejarah negara dan kurangnya pengetahuan dan tidak memahami budaya, adat resam dan amalam kaum lain.

6.0 Penutup
Perkembangan pendidikan di Malaysia ternyata mengalami banyak perubahan, terutama sejak zaman penjajahan hinggalah zaman selepas merdeka. Perkembangan masyarakat seiring dengan perkembangan dasr-dasar negara yang sentiasa ditambahbaik bagi memastikan keperluan rakyat terbela. Perubahan dalam sektor pendidikan menjadi intipati penting dalam pengukuhan perpaduan negara kea rah yang lebih baik kerana pendidikan menjadi peneraju pembentukan masyarakat.
           Aspek aspek murni amat penting dan ditekankan dalam pendidikan kerana sebagai sebuah masyarakat majmuk, nilai-nilai murni perlu ada dalam diri setiap warganegara.Namun, walaupun banyak perubahan yang telah dilakukan, kelemahan-kelemahan masih lagi wujud dan perlu diambil serius oleh pihak kerajaan untuk menyelesaikan dengan segera. Kelemahan yang wujud umpama barah yang akan merebak menjadi besar, malah boleh menyebabkan perpecahan dalam masyarakat. Masalah-masalah yang melibatkan isu-isu kaum perlu diselesaikan segera, bukan dibiarkan senyap begitu sahaja.
            Oleh itu, untuk mencapai matlamat perpaduan negara yang kukuh, seluruh masyarakkat perlu berganding bahu, seiring dengan usaha murni kerajaan melalui dasar-dasar dan rancangan baru. Mutu pendidikan yang sempurna serta hubungan masyarakat yang harmoni menjadi tonggak kejayaan yang akan menjadikan Malaysia sebuah negara maju dan dapat merealisasikan Wawasan 2020.

Comments

Post a Comment

Popular posts from this blog

Pembangunan Sukan Paralimpik Di Malaysia