Malay Special Class

Menurut Ramlah Adam dalam buku Maktab Melayu Melaka 1900-1922, kemunculan Malays Special Class menjadi pemangkin dalam membangkitkan semangat nasionalisme dalam kalangan orang Melayu.Bincangkan.

Malay Special Class ditubuhkan oleh British untuk menjadi tempat untuk para pelajar-pelajar Melayu yang berkebolehan dalam akademik dan yang berminat untuk melanjutkan pelajaran ke peringkat yang lebih tinggi dan seterusnya mendapat peluang pekerjaan yang lebih baik dalam pentadbiran British.Namun begitu, hanya orang-orang Melayu yang berkemampuan sahaja yang mampu menghantar anak-anak mereka di dalam kelas ini.Pada ketika itu, pendidikan untuk orang Melayu hanya terbatas sehingga Darjah Enam sahaja.Anak-anak Melayu yang yang lulus dalam peperiksaan berpeluang untuk memasuki kelas ini dengan menggunakan sistem “lompat kelas”.Pelajar yang lulus dalam peperiksaan di Tahun 3 misalnya akan terus melompat ke Tahun 5 dan seterusnya ke Malay Special Class.
       Kemunculan Malay Special Class ini sememangnya sedikit sebanyak telah mempengaruhi kebangkitan tokoh nasionalis tempatan untuk bangkit menentang British.Pendidikan bercorak British di kelas ini telah membuka mata dan minda para pelajar Melayu yang berpeluang belajar di situ tentang keburukan penjajahan seperti pengeksploitasian ekonomi, penyisihan kaum, pendidikan yang tidak adil dan sebagainya.Kesedaran akan semua hal-hal ini telah menyebabkan orang-orang tempatan merasa marah, tertipu dan seterusnya bangkit menentang British demi untuk menuntut kembali hak-hak yang telah hilang.
        Antara tokoh penting yang terlibat secara langsung dalam mencetuskan semangat nasionalisme di Tanah Melayu ialah Ahmad Boestamam.Beliau memasuki Anderson School, Ipoh pada tahun 1933 dan tamat Darjah Lima serta lulus dengan Gred 1 dalam peperiksaan Special Malay Class. Seperti kebanyakan para aktivis politik yang sezaman dengannya, Ahmad Boestamam adalah seorang wartawan akhbar yang sangat prolifik.Beliau aktif menulis dalam akhbar seperti akhbar Saudara,Warta Kinta, Majlis dan Utusan Melayu.Kegiatan beliau dalam akhbar-akhbar tersebut telah menemukan beliau dengan tokoh-tokoh lain seperti Ishak Haji Muhammad,Rahim Kajai dan Ibrahim Yaakob yang turut aktif mengkritik dasar penjajah British.Kegiatan Ahmad Boestamam dalam bidang kewartawanan ini telah menyebabkan beliau terlibat dalam arus kerancakan nasionalisme Melayu yang sedang memuncak pada tahun 1930-an. Beliau telah turut sama memberi pendapat dan cadangannya bagi memperbaiki kelemahan ekonomi, sosial dan politik orang Melayu daripada tekanan kerajaan British dan saingan kaum Cina dan India.Walaupun tulisannya tidak setajam rakan-rakannya yang lain, tetapi beliau telah melahirkan pendapatnya dalam nada dan pendapat yang sama dengan mereka.Persamaan harapannya untuk memajukan orang Melayu sudah cukup untuk membolehkan beliau terlibat secara langsung dalam kegiatan nasionalisme orang Melayu.
         Selain itu, pendidikan di Special Malay Class juga telah menyediakan para pelajar Melayu kemahiran dalam berbahasa Inggeris.Kemahiran tersebut telah digunapakai untuk memahami dasar-dasar Inggeris serta pembacaan yang luas juga telah menyedarkan para nasionalis untuk bangkit menentang British.Penguasaan mereka dalam bidang bahasa dan sastera diterjemah dalam tulisan-tulisan di akhbar yang kadang kala ditulis dalam bentuk puisi, sajak dan cerpen.Cara ini dilihat berkesan mempengaruhi minda masyarakat Melayu untuk sama-sama sedar dan mula menuntut kemerdekaan.Ramai pelajar-pelajar lepasan Special Malay Class yang menuntut di Kolej Kuala Kangsar dan Maktab Perguruan Sultan Idris (MPSI) yang menjadi guru juga telah banyak membantu dalam dalam memangkin dan membangkitkan semangat nasionalisme dalam kalangan masyarakat Melayu.
          Kesimpulanya, kewujudan Malay Special Class dilihat memangkin dan membantu dalam membangkitkan semangat nasionalisme dalam kalangan masyarakat Melayu dalam menentang British.Ini dibuktikan dengan tindakan-tindakan yang telah diambil oleh tokoh lulusan kelas ini seperti Ahmad Boestamam dan rakan-rakan beliau.Walaupun tidak banyak bukti yang dapat dikemukakan dalam menyokong kenyataan ini, tetapi pada dasarnya tidak dapat dinafikan ianya membantu.Oleh itu, sejarah tentang Malay Special Class ini sepatutnya tidak dilupakan tetapi perlu diingat dan dihayati oleh masyarakat pada masa kini supaya kejadian lalu tidak berulang kembali.

Comments

Popular posts from this blog

Sejarah Perkembangan Pendidikan di Malaysia

Pembangunan Sukan Paralimpik Di Malaysia