PISMP Sem 1: Analisis dan Kesan Pelaksanaan Surat Pekeliling Ikhtisas di Sekolah (Kokurikulum)

1.0 Pendahuluan

Gagasan pendidikan di Malaysia merupakan hasrat kerajaan dalam membentuk dan membina budaya ilmu berteraskan kesedaran serta keinsafan agar dapat melahirkan warga Malaysia yang dapat hidup bersama sebagai sebuah negara bangsa bertamadun. Fokus utama pendidikan bertumpu kepada pembangunan modal insan yang berkualiti agar dapat melahirkan masyarakat yang dapat menyumbang kepada pembangunan negara. Demi merealisasikan hasrat tersebut, kerajaan sentiasa berusaha untuk menambahbaik sistem pendidikan kebangsaan dari semasa ke semasa supaya relevan dengan perkembangan dan kemajuan semasa. Antara langkah-langkah yang diambil adalah mengeluarkan surat-surat pekeliling yang menjadi panduan utama pihak sekolah untuk menjalankan tugas dan arahan Kementerian Pelajaran. Kandungannya pula tertumpu kepada pelbagai bidang seperti kurikulum, kokurikulum, pentadbiran sekolah, disiplin dan sebagainya.
          
        Surat Pekeliling Ikhtisas (SPI) ini dikeluarkan dalam bentuk surat rasmi kepada semua semua institusi pendidikan yang terlibat seperti sekolah rendah dan sekolah menengah. Surat pekeliling ini adalah arahan daripada pihak Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) dan pihak penerima iaitu pihak sekolah di seluruh negara wajib mengikuti dan melaksanakan apa yang terkandung dalam surat tersebut. Surat pekeliling ini akan diberikan kepada Pengarah Pelajaran Negari dan kemudiannya disampaikan kepada sekolah-sekolah di bawah seliaan Pengarah Pelajaran negeri masing-masing.Dalam perbincangan ini, saya akan membincangkan tentang salah satu surat pekeliling ikhtisas yang berkaitan dengan pelaksanaan kokurikulum di sekolah iaitu Surat Pekeliling Ikhtisas Bil.7/1988: Penyertaan Pelajar Dalam Pertandingan Atau Kejohanan Sukan Anjuran Persatuan Atau Badan Induk Sukan.


            2.0 Analisis Terhadap Surat Pekeliling Ikhtisas (SPI)

Surat Pekeliling Ikhtisan (SPI) yang telah saya pilih ialah Surat Pekeliling Ikhtisas Bil.7/1988: Penyertaan Pelajar Dalam Pertandingan Atau Kejohanan Sukan Anjuran Persatuan Atau Badan Induk Sukan. Surat pekeliling ini dikeluarkan oleh Kementerian Pelajaran pada 10 Mac 1988 dan masih berkuatkuasa sehingga kini.Secara amnya, surat pekeliling dikeluarkan bertujuan untuk menjadi garis panduan dan maklumat kepada warga pendidik dan pihak pentadbir sekolah melaksanakan tugas. Ia juga dikeluarkan bertujuan untuk memperjelas peraturan sedia ada berkaitan pengurusan kurikulum, aspek profesional lain berhubung pengurusan pendidikan dan keguruan di samping membantu pengurusan sekolah membuat keputusan.
           Penguasaan terhadap aspek isi kandungan surat pekeliling ikhtisas amat berkait rapat dengan bilangan kes perundangan dalam pengurusan disiplin pelajar. Penguasaan guru secara mendalam dalam pengurusan disiplin pelajar akan meneguhkan lagi pemahaman guru terhadap gabungan nilai masyarakat berkaitan kesaksamaan dan prosesnya dalam institusi masyarakat. Penguasaan terhadap isi kandungan surat pekeliling ikhtisas yang dikeluarkan oleh Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) akan dapat membantu guru-guru terutamanya guru kokurikulum untuk memahami tugas dan sejauh mana peranannya dalam mengelolakan sesuatu aktiviti sukan di peringkat sekolah dan seterusnya.
          
        Surat Pekeliling Bil 7/1988 ini menyatakan bahawa pihak Kementerian Pelajaran sentiasa menggalakkan penyertaan para pelajar dalam apa juga aktiviti sukan dan memperakukan bahawa sukan sememangnya penting dalam membina ketahanan diri dan kesihatan pelajar. Selaras dengan Falsafah Pendidikan Kebangsaan yang mahu melahirkan insan yang seimbang dan harmonis dari segi jasmani, emosi, rohani dan intelek, Kementerian Pelajaran melihat sukan adalah salah satu aspek yang boleh mempengaruhi perkembangan unsur-unsur tersebut selain daripada akademik. Di samping itu, sukan juga merupakan sebahagian dari kegiatan kokurikulum yang diwajibkan di sekolah-sekolah yang berupaya untuk menjadi saluran berkesan bagi memupuk persefahaman dan perpaduan dalam kalangan pelajar. Hal ini demikian kerana, melalui aktiviti sukan yang dijalankan, semua pelajar akan bersatu padu di atas dasar semangat kesukanan.
         
        Sementara itu, pelbagai pertandingan dan kejohanan sukan untuk para pelajar mengikut peringkan umur juga dijalankan oleh Persatuan atau Badan Induk Sukan selain daripada pertandingan dan kejohanan sukan yang dikelolakan oleh Majlis Sukan Sekolah-Sekolah Malaysia (MSSM). Sebagai contoh, setiap sekolah wajib mengadakan sukan tahunan sekolah pada setiap tahun dan kebiasaannya, sekolah-sekolah ini juga akan bertanding di peringat daerah, gabungan, negeri dan kebangsaan selepas itu.Bagi sekolah-sekolah yang mempunyai atlit berbakat, Persatuan atau Badan Induk Sukan akan membuat pemilihan dari kalangan pelajar sama ada secara perseorangan ataupun berkumpulan untuk mewakili sekolah untuk bertanding ke peringkat-peringkat yang lebih tinggi. Tujuannya adalah untuk mengasah dan menonjolkan bakat para pelajar yang berbakat untuk menjadi atlit bagi mengharumkan nama sekolah dan sebagainya.Sekiranya terpilih, maka pelajar tersebut akan bertandingan di peringkat yang lebih tinggi serta mewakili institusi yang lebih besar seperti daerah, negeri dan seterusnya negara.
          
           Dalam surat pekeliling ini, pihak Kementerian Pelajaran amat mengalu-alukan dan menggalakkan usaha yang dilakukan oleh Badan Induk Sukan atau Persatuan tersebut untuk memajukan sukan di negara ini dan wajar diberi sokongan. Namun begitu, terdapat satu gejala yang kurang diingini berlaku apabila penyertaan pelajar-pelajar dalam pertandingan atau kejohanan tersebut termasuk ketika menjalani latihan tidak diketahui oleh pihak sekolah, Pejabat Pelajaran Daerah atau Jabatan Pelajaran Negeri. Hal ini bermaksud, pihak yang mengambi bahagian tidak memaklumkan kepada pihak sekolah dan Jabatan Pelajaran Daerah dan Negeri bahawa terdapat pelajar yang mengambil bahagian dalam pertandingan atau kejohanan sukan yang dianjurkan oleh pihak-pihak tertentu. Hal ini sepatutnya tidak berlaku kerana sekolah ada peraturan yang tidak membolehkan Badan Induk Sukan atau Persatuan menghantar pelajar sesuka hati tanpa kebenaran sekolah.Oleh itu, Kementerian Pelajaran merasakan bahawa hal ini perlu diperbetulkan kerana keperluan-keperluan tertentu harus dipenuhi sebelum seseorang pelajar itu dibolehkan mengambil bahagian.
          
        Oleh kerana perkara tersebut telah berlaku maka kementerian telah mengeluarkan surat pekeliling ini untuk memastikan beberapa keperluan dipenuhi sebelum mana-mana pelajar dibenarkan mengambil bahagian dalam mana-mana pemilihan, latihan, pertandingan dan kejohanan sukan anjuran pihak luar yang dianjurkan secara persendirian atau dianjurkan bersama dengan MSSM supaya kepentingan, kebajikan, keselamatan dan kesejahteraan pelajar sentiasa terjaga.Hal ini demikian kerana kebajikan dan keselamatan pelajar adalah tanggungjawab bersama dengan sekolah selagi pelajar itu berada di dalam kawasan sekolah dan semasa waktu pembelajaran, termasuklah aktiviti kokurikulum yang dilaksanakan membabitkan sekolah tersebut. Oleh itu, untuk mengelakkan perkara-perkara yang tidak diingini berlaku maka Kementerian Pelajaran telah mengeluarkan surat pekeliling ini untuk memastikan pihak sekolah mengikuti garis panduan sebelum membenarkan pelajar-pelajarnya dalam mengikuti latihan, pemilihan, pertandingan atau kejohanan sukan.
          
          Surat Pekeliling Bil. 7/1988 ini telah menggariskan empat panduan utama yang perlu dan wajib diikuti oleh semua sekolah sebelum membuat pemilihan, latihan, pertandingan atau kejohanan sukan yang hendak disertai.Panduan pertama ialah, pemilihan, latihan, pertandingan atau kejohanan yang akan disertai oleh pelajar mestilah diketahui oleh pengetua sekolah yang berkenaan dan dipersetujui oleh Pengarah Pelajaran Negeri. Hal ini bermaksud, pengetua sekolah berkenaan mestilah mengetahui dengan jelas tentang pemilihan dan latihan sukan yang dilakukan oleh Badan Induk atau Persatuan Sukan serta mengetahui bahawa pemilihan dan latihan sukan tersebut bertujuan untuk penyertaan di dalam pertandingan atau kejohanan sukan. Pengarah Pelajaran Negeri pula harus dimaklumkan tentang pertandingan atau kejohanan sukan tersebut serta bersetuju atau meluluskan pertandingan atau kejohanan sukan tersebut. Pengarah Pelajaran Negeri juga harus dimaklumkan tentang aktiviti pemilihan dan latihan yang dijalankan oleh sekolah-sekolah supaya apa-apa masalah yang timbul dapat diselesaikan dengan cepat dan tidak berlarutan sehingga ke Kementerian Pelajaran.
          
           Perkara kedua yang ditekankan dalam surat pekeliling ini adalah persetujuan dan kebenaran bertulis dari ibu bapa atau penjaga yang membenarkan pelajar berkenaan mengambil bahagian dalam pemilihan, latihan, pertandingan atau kejohanan sukan pada tarikh, tempat dan masa yang ditetapkan. Sebelum pelajar mengambil bahagian adalam apa-apa hal yang berkaitan dengan sukan tersebut, persetujuan dan kebenaran bertulis dari ibu bapa perlu ada untuk membolehkan pelajar tersebut terlibat dalam pemilihan, latihan, pertandingan atau kejohanan tersebut. Hal ini demikian kerana, ibu bapa atau penjaga merupakan individu yang paling rapat dan bertanggungjawab ke atas anak-anak mereka. Mereka sudah tentu tidak mahu kejadian yang tidak diingini seperti kemalangan sewaktu menjalani latihan menimpa anak mereka. Oleh itu, sebelum pemilihan diadakan, maka pihak sekolah mestilah mendapatkan persetujuan dan kebenaran bertulis daripada ibu bapa sebelum memberi kebenaran kepada pelajarnya mengikuti apa-apa aktiviti untuk sukan tersebut. Ibu bapa dan penjaga juga mesti tahu tarikh, masa dan tempat pertandingan atau kejohanan itu diadakan supaya mereka tidak risau dengan keselamatan anak-anak mereka. Kebiasaannya, pihak sekolah akan menyediakan borang kebenaran untuk ditandatangani oleh ibu bapa dan penjaga pelajar dan terpulang kepada mereka sama ada bersetuju atau tidak. Jika ibu bapa atau penjaga tidak bersetuju, maka pelajar tersebut tidak akan dibenarkan mengikuti apa-apa aktiviti yang berkaitan dengan sukan tersebut.
           
         Selain itu, persetujuan dan kebenaran bertulis dari ibu bapa atau penjaga akan membolehkan penguasaan guru terhadap tata cara pengurusan disiplin yang berkualiti serta membantu guru untuk bertindak secara waras dan berhemah. Sekiranya guru menguasai isi kandungan surat pekeliling ikhtisas maka guru tidak lagi perlu berasa was-was terhadap segala tindakan yang diambil terhadap pelajar. Hal ini dapat mengelakkan pihak sekolah daripada menghadapi konflik dan kes undang-undang. Contohnya, apabila seseorang pelajar mengikuti pemilihan, latihan, peratandingan atau kejohanan sukan tanpa kebenaran dari ibu bapa atau penjaga dan satu kemalangan telah berlaku semasa aktiviti sukan tersebut dijalankan, maka ibu bapa boleh mendakwa dan mengambil tindakan undang-undang terhadap sekolah. Perkara ini akan menjadi masalah besar kepada guru yang terlibat, pengetua sekolah dan seterusnya sekolah itu sendiri. Oleh itu, penguasaan guru terhadap perundangan pendidikan dapat membantu guru untuk membataskan tanggungjawab mereka dalam menguruskan disiplin pelajar berpandukan doktrin yang sedia ada. Guru akan lebih bersedia menghadapi sebarang kemungkinan jika mereka berhadapan dengan situasi yang berkaitan dengan perundangan.
          
          Selain itu, perkara ketiga yang ditekankan oleh Kementerian Pelajaran dalam surat pekeliling ini adalah setiap penyertaan dalam pemilihan, latihan, pertandingan atau kejohanan anjuran badan luar atau dianjurkan bersama dengan MSSM itu tidak akan mengganggu atau menjejaskan persekolahan pelajar. Aktiviti pemilihan, latihan, pertandingan atau kejohanan yang telah mendapat kebenaran daripada Pengarah Pelajaran Negeri mestilah dijalankan tanpa mengganggu atau menjejaskan pelajaran pelajar yang teribat kerana pada masa yang sama, pelajar juga perlu hadir ke kelas dan mengikuti proses pembelajaran pada setiap hari. Pelajar tidak boleh menjadikan latihan sukan sebagai alasan untuk tidak masuk ke dalam kelas serta tidak berdisiplin. Kementerian Pelajaran juga khuatir tentang kemerosotan prestasi akademik seseorang pelajar jika terlalu fokus dengan latihan sukan atau terlalu kerap mewakili sekolah dalam sesuatu pertandingan atau kejohanan. Oleh itu, adalah menjadi tugas utama guru atau jurulatih yang terlibat untuk menyusun jadual latihan pelajar supaya tidak menjejaskan waktu belajar pelajar. Jika seseorang pelajar itu perlu memasuki kelas pada waktu pagi, latihan sukan boleh dijalankan pada waktu petang dan begitulah sebaliknya. Sementara itu, pihak penganjur pula boleh menganjurkan sesuatu pertandingan atau kejohanan sukan pada hari Sabtu dan Ahad atau hari-hari yang dirasakan sesuai. Terdapat juga pertandingan atau kejohanan yang mengambil masa yang lama untuk dihabiskan. Oleh itu, pihak penganjur perlulah bijak mengatur masa untuk menganjurkan sesuatu pertandingan atau kejohanan sukan.
           
          Perkara terakhir yang ditekankan oleh Kementerian Pelajaran dalam Surat Pekeliling Bil. 7/1988 ini adalah perlindungan insuran dan langkah-langkah kecemasan untuk pelajar mestilah disediakan. Perlindungan insuran ini perlu disediakan dan diurus oleh pihak sekolah untuk melindungi pelajar sewaktu pemilihan, latihan, pertandingan atau kejohanan sukan itu diadakan. Sekiranya berlaku apa-apa kemalangan yang serius, maka pelajar tersebut boleh mendapat insuran tersebut. Selain itu, langkah-langkah kecemasan semasa melakukan aktiviti pemilihan, latihan, pertandingan atau kejohanan sukan perlu disediakan oleh pihak sekolah atau pihak penganjur. Contohnya, apabila pelajar melakukan latihan, guru atau jurulatih hendaklah sentiasa memantau keadaan kawasan latihan, keselamatan dan menyediakan peti kecemasan untuk menghadapi keadaan sekiranya pelajar yang sedang berlatih mengalami kecederaan dan sebagainya. Pihak penganjur sesuatu pertandingan atau kejohanan pula boleh meminta bantuan daripada Persatuan Bulan Sabit Merah (PBSM) dan St. John Ambulans yang bertauliah dan berkemahiran dalam mengendalikan kecemasan sewaktu penganjuran pertandingan atau kejohanan sukan.
           
          Kementerian Pelajaran menyarankan supaya para pelajar mengambil bahagian dalam pemilihan, latihan, pertandingan atau kejohanan sukan anjuran pihak luar sama ada persendirian atau dianjurkan bersama oleh MSSM setakat mana yang boleh. Namun begitu, guru pembimbing dari sekolah pelajar berkenaan juga disarankan untuk mengawasi segala aktiviti pelajar semasa pertandingan atau kejohanan sukan itu berlangsung. Langkah itu dilihat wajar sebagai usaha sekolah untuk mengikuti dengan dekat perkembangan yang berlaku ke atas para pelajar serta menentukan bahawa pelajar-pelajar terhindar dari kelakuan atau pengaruh-pengaruh yang tidak diingini.
          
       Surat pekeliling ikhtisas yang berkaitan dengan tata cara pengurusan disiplin merupakan isu utama yang perlu diketahui oleh semua guru terutama pengetua, penolong kanan dan guru-guru. Kajian yang berkaitan dengan pengurusan disiplin amat berkait rapat dengan pengurusan pentadbiran di sekolah. Sekolah yang mempunyai sistem pengurusan pentadbiran yang efisien dan dinamik akan memastikan sistem pengurusan disiplin juga ditadbir urus dengan baik. Walaupun perkara ini amat penting, namun kajian terhadap penguasaaan guru mengenai tata cara pengurusan disiplin terhadap pelajar tidak banyak dilakukan sebelum ini. Kajian ini diharap akan dapat membantu pihak sekolah terutamanya pentadbir dan guru-guru bahawa aspek perundangan pendidikan merupakan aspek penting yang banyak membantu guru-guru terutamanya semasa mengendalikan penguatkuasaan disiplin pelajar.

3.0 Kesan Pelaksanaan Surat Pekeliling Ikhtisas (SPI) Kepada Sekolah, Pelajar Dan Guru.

Surat Pekeliling Ikhtisas (SPI) yang telah dikeluarkan oleh Kementerian Pelajaran wajib dipatuhi dan dilaksanakan oleh setiap sekolah kebangsaan di seluruh negara. Apa-apa aktiviti  yang hendak dilaksanakan oleh pihak sekolah mestilah mengikut garis panduan yang telah ditetapkan dalam surat pekeliling tersebut dan pihak sekolah termasuk guru-guru dan murid tidak boleh mempertikaikan pelaksanaan atau isi kandungan surat pekeliling tersebut. Dengan mengambil contoh Surat Pekeliling Bil. 7/1988 ini, terdapat beberapa kesan yang boleh dilihat positif kepada sekolah, pelajar-pelajar dan guru-guru.
         Antara kesan yang boleh dilihat daripada pelaksanaan surat pekeliling ini adalah galakan dan sokongan Kementerian Pelajaran terhadap penglibatan pelajar dalam aktiviti sukan akan meningkatkan semangat dan keyakinan pelajar untuk bergiat aktif dalam aktivtiti kokurikulum di sekolah. Sekolah merupakan medan untuk para pelajar mengasah bakat mereka dalam bidang sukan yang diminati di bawah bimbingan guru-guru yang terlibat yang juga berperanan sebagai jurulatih. Dengan penyertaan para pelajar dalam aktiviti sukan, mereka boleh menonjolkan bakat masing-masing dan sekiranya terpilih, pelajar tersebut boleh menjadi atlit untuk mewakili sekolah, negeri dan seterusnya negara. Kejayaan pelajar-pelajar dalam sesuatu pertandingan atau kejohanan sukan yang disertai juga akan mengharumkan nama sekolah tersebut. Peranan sekolah sebagai tempat untuk mencungkil dan mengasah bakat serta peranan guru sebagai jurulatih awal pelajar dalam sukan tidak dapat dinafikan dalam membantu perkembangan sukan tanah air. Selain itu, aktiviti sukan juga membolehkan para pelajar sentiasa berinteraksi antara satu sama lain dan menyuburkan lagi semangat perpaduan dalam kalangan pelajar. Persaingan untuk mendapat tempat dalam sesuatu pertandingan atau kejohanan akan menaikkan lagi semangat ingin berusaha dan semangat kesukanan dalam diri para pelajar dan seterusnya meningkatkan motivasi diri mereka.
         
           Seterusnya, dengan adanya surat pekeliling ini maka kebajikan dan keselamatan para pelajar yang mengambil bahagian dalam aktiviti sukan dapat dijaga dengan baik. Penyediaan insuran dan langkah kecemasan semasa aktiviti pemilihan, latihan, pertandingan atau kejohanan akan menaikkan lagi semangat dan keyakinan pelajar untuk terus berusaha mencapai kejayaan dalam sukan yang disertai. Namun begitu, adanya insuran bukan bermaksud pelajar tidak menjaga keselamatan diri, tetapi sebagai persediaan kepada kejadian atau kemalangan yang tidak diduga berlaku semasa menjalani aktiviti sukan itu. Penyediaan insuran dan langkah-langkah kecemasan yang dituntut oleh Kementerian Pelajaran ini merupakan tanggungjawab guru dan pihak sekolah dan ini mungkin sedikit menyusahkan mereka, tetapi tanggungjawab perlu dilaksanakan mengikut arahan dalam surat pekeliling. Selain itu, semasa berlatih atau bertanding, guru pembimbing perlu memantau keadaan pelajarnya supaya sekiranya berlaku apa-apa seperti kecederaan dan sebagainya, guru pembimbing boleh mengambil tindakan dengan cepat mengikut keadaan dan keperluan semasa.
           
           Selain itu, arahan Kementerian Pelajaran supaya pemilihan, latihan, pertandingan atau aktiviti sukan tidak mengganggu atau menjejaskan proses pembelajaran pelajar adalah untuk memastikan pelajar yang terlibat dalam sukan tidak ketinggalan dalam bidang akademik. Selain daripada aktiviti kokurikulum, pelajar juga perlu mengikuti proses pembelajaran di dalam kelas supaya mereka mendapat ilmu pengetahuan di samping persediaan untuk menghadapi peperiksaan.Pengurusan jadual latihan yang sistematik hendaklah disediakan oleh guru pembimbing atau jurulatih pelajar berkenaan supaya tidak bercanggah dengan waktu belajar. Pengurusan jadual dan masa latihan juga akan mengelakkan pelajar daripada terlibat dengan masalah disiplin seperti ponteng kelas dan tidak hadir ke sekolah. Hal ini akan dapat mengurangkan masalah disiplin di sekolah serta memudahkan tugas guru dan pihak sekolah.
          
           4.0 Kekangan Pelaksanaan Surat Pekeliling Ikhtisas

Sementara itu, terdapat juga sekolah-sekolah yang menghadapi kekangan dalam melaksanakan Surat Pekeliling Bil. 7/1988 ini.Hal ini demikian kerana bukan semua keadaan sekolah itu sama. Misalnya, sekolah di kawasan bandar lebih mudah dan selesa daripada sekolah-sekolah di kawasan luar bandar dan pedalaman. Kemudahan infrastruktur seperti padang dan alatan permainan yang tidak lengkap akan mempengaruhi pelaksanaan surat pekeliling ini. Sebagai contoh, apabila sesebuah sekolah itu tidak mempunyai kemudahan padang di kawasan sendiri, maka sekolah itu perlu memohon untuk meminjam padang di sekolah lain atau padang-padang awam untuk menjalankan aktiviti pemilihan, latihan, pertandingan atau kejohanan sukan. Proses ini akan melibatkan proses permohonan penggunaan padang dan alatan, menunggu kelulusan dari pihak terbabit serta membabitkan kos sewa kawasan dan alatan yang terpaksa ditanggung oleh pihak sekolah. Proses ini juga akan banyak memakan masa guru-guru dan pelajar-pelajar yang terlibat.Pihak sekolah tidak mempunyai pilihan lain kerana aktiviti kokorikulum serta pertandingan atau kejohanan sukan perlu diadakan oleh setiap sekolah.
          
     Sekolah kurang murid (SKM) juga menghadapi sedikit masalah dalam melaksanakan surat pekeliling ini kerana golongan sasar iaitu guru-guru dan pelajar terlalu sedikit bilangannya.Sekolah kurang murid ini biasanya terdapat di kawasan luar bandar yang mana terdapat murid berlainan darjah yang digabungkan di dalam kelas yang sama. Jumlah murid yang sedikit dilihat senang untuk diuruskan tetapi hakikatnya sukar kerana penglibatan dan penyertaan pelajar dalam aktiviti kokurikulum dan sukan terhad dan terbatas. Sekolah juga tidak dapat menghantar satu pasukan untuk bertanding dalam pertandingan atau kejohanan yang melibatkan jumlah pelajar atau atlet yang ramai. Interaksi sosial antara pelajar juga kurang aktif dan hasrat kementerian untuk menggalakkan penglibatan semua pelajar dalam aktitvi sukan juga akan kurang tercapai matlamat.
          
      Selain itu, sekolah-sekolah di kawasan pedalaman Sabah, Sarawak dan perkampungan Orang Asli juga menghadapi kekangan untuk melaksanakan apa yang termaktub dalam surat pekeliling ini. Hal ini demikian kerana faktor jarak yang jauh menyukarkan mobiliti sosial antara sekolah-sekolah. Jarak sekolah yang jauh dari kawasan bandar menyebakan segala maklumat daripada Kementerian Pelajaran dan Jabatan Pelajaran Negeri akan lewat diterima. Kemudahan infrastruktur yang tidak lengkap dan jumlah guru yang sedikit akan menyebabkan pelaksanaan surat pekeliling ini menghadapi masalah dan dijalankan dengan lewat. Faktor jarak juga menyebabkan guru-guru tidak dapat menghantar pasukan sekolah untuk bertanding di peringkat daerah, negeri dan sebagainya. Namunbegitu, aktiviti kokurikulum masih perlu dijalankan serta mengikut surat pekeliling yang dikeluarkan kerana sekolah di kawasan pedalaman juga masih di bawah naungan Kementerian Pelajaran.

 5.0 Penutup
            
Kesimpulannya, Kementerian Pelajaran Malaysia mengeluarkan Surat Pekeliling Ikhtisas ini dengan tujuan-tujuan tertentu dan perlu diikuti dan dilaksanakan oleh pihak sekolah. Isi kandungan surat pekeliling ini merupakan arahan wajib daripada Kementerian Pelajaran untuk semua institusi pendidikan kebangsaan di seluruh negara.Ia juga dikeluarkan dengan tujuan untuk melancarkan dan menyeragamkan struktur pentadbiran dan pelaksanaan dasar pendidikan di sekolah-sekolah agar selaras dengan agenda dan perancangan Kementerian yang mahu mewujudkan pendidikan yang adil dan bertaraf dunia.
           
           Pihak yang terlibat terutamanya sekolah-sekolah haruslah peka dengan arahan yang terkandung dalam surat pekeliling ini.Semua aktiviti yang ingin dilakukan misalnya kegiatan kokurikulum dan sukan perlulah dijalankan berpandukan kepada surat pekeliling ini.Oleh itu, adalah menjadi tanggungjawab semua sekolah dan warganya untuk bersama-sama melaksanakan dan menjayakan arahan yang terkandung dalam surat pekeliling ini supaya tidak timbul masalah yang tidak diingini dan menyebabkan tindakan tatatertib daripada Kementerian Pelajaran.


Comments

Popular posts from this blog

Sejarah Perkembangan Pendidikan di Malaysia

Pembangunan Sukan Paralimpik Di Malaysia