Nota Pendek: Komanwel Dan Undang-undang Antarabangsa

Komanwel:

Pertubuhan ini tidak mempunyai perlembagaan yang bertulis. Selain itu bahasa Inggeris digunakan dalam hubungan antara negara-negara anggota. Raja British (Permaisuri) menjadi ketua pertubuhan ini selain menjadi lambang perpaduan pertubuhan. Sistem pentadbiran dan kehakiman negara anggota berasaskan sistem British. Malah, ciri yang paling ketara ialah semua negara anggota pernah menjadi  tanah jajahan British.

British menubuhkan Komanwel atas beberapa faktor iaitu:

Kepentingan sosial yang melibatkan Sukan Komanwel bagi memupuk hubungan persahabatan antara anggota. Pemberian biasiswa yang melibatkan pelajar miskin untuk belajar di universiti negara-negara anggota.

Kepentingan Pertahanan juga penting kerana ketika itu Malaysia sedang menghadapi masalah dengan Indonesia. Perjanjian Pertahanan telah dibuat antara Malaysia, Britain, Australia, New Zealand dan Singapura yang menyaksikan semua negara terbabit bebas membuat keputusan untuk membantu atau tidak jika sesebuah negara anggota diancam oleh kuasa lain.

Kepentingan ekonomi juga jelas kerana Rancangan Colombo menyaksikan negara-negara maju membantu memajukan negara-negara anggota yang miskin. Begitu juga penubuhan Pertubuhan Blok Sterling yang menjadi tabung bagi negara-negara anggota untuk mengasaskan nilai mata wang mereka dengan mata wang British.

Peranan Malaysia dalam Komanwel?
Antaranya menjadi tuan rumah mesyuarat Ketua-ketua Kerajaan Komanwel (CHOGM). Malaysia juga aktif menimbulkan isu-isu antarabangsa seperti Isu alam sekitar melalui Deklarasi Langkawi.Memperjuangkan hak-hak asasi manusia dan penentangan dasar Apartheid yang berlaku di Afrika.

Undang-undang Antarabangsa.
Undang-undang antarabangsa adalah badan undang-undang yang "mengawal kegiatan-kegiatan entiti yang mempunyai keperibadian antarabangsa". Secara tradisi, itu bermaksud kelakuan dan hubungan dua hala antara negara-negara dunia. Akan tetapi, sekarang undang-undang antarabangsa juga difahami sebagai meliputi struktur dan kelakuan pertubuhan antarabangsa dan, setakat tertentu, perbadanan-perbadanan multinasional dan individu-individu.

Rosalyn Higgins dalam bukunya "Masalah-masalah dan Proses: Undang-undang Antarabangsa dan bagaimana kita menggunakannya" (Problems and Process: International Law and how we use it), undang-undang antarabangsa adalah sistem normatif "yang digubal berdasarkan prinsip-prinsip yang sama, prinsip yang diikuti semua, tidak kira sama ada kita kaya atau miskin, berkulit putih atau hitam, beragama atau tidak, atau datang dari negara yang maju atau sedang membangun".Keperluan undang-undang antarabangsa ketara apabila berlakunya keinginan-keinginan dan kehendak berbeza mengikut negara di peringkat antarabangsa.Undang-undang antarabangsa adalah perlu bagi mengatur keinginan dan kehendak antara negara yang sering bercanggah ini.

Undang-undang antarabangsa mengenalpasti dan meletakkan negara sebagai aktor utama di pentas antarabangsa.Oleh sebab kewujudan negara membuat anggapan bahawa adanya kawalan dan jajahan terhadap sesuatu kawasan, undang-undang antarabangsa berkait dengan pengambilan sesuatu kawasan, immuniti negara dan tanggungjawab undang-undang negara dalam perhubungan mereka sesama sendiri. Undang-undang juga mengambil berat akan layanan sesuatu negara terhadap rakyatnya dalam kawasan jajahan mereka sendiri.Secara langsung, wujudnya rejim komprehensif yang mengenai hak kumpulan, layanan terhadap pendatang asing, hak pelarian, jenayah pada peringkat antarabangsa, masalah kewarganegaraan dan hak asasi manusia secara amnya. Ia juga meliputi penjagaan sekuriti, stabiliti dan keamanan di peringkat antarabangsa, kawalan senjata, penyelesaian diplomatik terhadap pertikaian yang berlaku dan pengaturan penggunaan kekerasan dalam hubungan antarabangsa.Sekalipun undang-undang antarabangsa ada masanya tidak dapat menggelakkan perperangan, ia sekurang-kurangnya dapat mengawal kelakuan antara pihak-pihak yang berbalah dan menggariskan layanan terhadap tahanan perang.Antara fungsi-fungsi lain undang-undang antarabangsa adalah untuk regulasi isu-isu berkait alam sekitar global, perkongsian global seperti perairan antarabangsa, angkasa lepas, komunikasi global dan perdagangan antarabangsa.


Comments

Popular posts from this blog

Sejarah Perkembangan Pendidikan di Malaysia

Pembangunan Sukan Paralimpik Di Malaysia