Pendidikan dan Polarisasi Pendidikan


Bagaimanakah sistem persekolahan pada zaman Inggeris mewujudkan polarisasi kaum ?

Polarisasi bermaksud sikap perkauman, yang menjadi asas masalah utama perpaduan antara kaum atau etnik berbilang bangsa di nagara ini. Unsur-unsur perkauman ini lebih ketara apabila dibandingkan dengan kesanggupan bagi mencapai integrasi nasional.Sentimen ini telah ditanam kukuh oleh penjajah Inggeris pada setiap jajahannya dengan acuan atau adunan mereka iaitu ‘pecah dan perintah’.
          Menjadi sikap Penjajah Inggeris yang hanya menumpukan kepada perkembangan ekonomi. Dalam hal sosial, Inggeris berpegang kepada dasar campur tangan yang minimum. Masyarakat Melayu ketika itu telah digambarkan oleh J.S Furnivall seperti berikut;

‘… mereka bercampur gaul tetapi tidak bersatu padu. Setiap kumpulan ada agama, budaya dan bahasa, ideologi dan haluan sendiri. Mereka tinggal sebelah menyebelah tetapi terdapat perpisahan dalam unit yang sama …’ :J.S Furnivall. Colonial Policy and Practice, Cambridge University Press, London.

          Masalah polarisasi telah wujud sejak zaman penjajahan British lagi. Pemerintahan mereka pada masa itu mempunyai dasar yang mengekalkan struktur kelas dan sosioekonomi kaum-kaum tertentu. Pihak British tidak menyediakan satu sistem persekolahan yang bersepadu. Sebaliknya mereka membiarkan kewujudan sistem pendidikan yang berbagai-bagai aliran termasuk aliran Inggeris, Melayu, Cina dan Tamil atau lebih dikenali sebagai sekolah vernakular. Tujuannya ialah untuk memenuhi keperluan sektor tertentu dalam ekonomi zaman berkenaan.Walaupun akhirnya bilangan penuntut meningkat dengan pengetahuan berorentasikan pendidikan Inggeris sehingga ke hari ini, namun peluang-peluang  menggunakan kelayakan tersebut sebagai mobiliti ke atas tidak terbuka kepada golongan rendah. Oleh itu, perbezaan kelas terus kekal dan dapat dilihat dan dirasai sehingga ke hari ini.
           Aliran sistem pendidikan dan sekolah-sekolah yang berbeza ini tadi melahirkan warganegara yang mirip kepada ideologi yang berbeza. Akar kolonialisme budaya bukan sahaja wujud dalam konteks pendidikan Inggeris tetapi lebih kukuh dan tebal sentimen perkaumannya melalui pendidikan Cina dan Tamil. Pendidikan Inggeris menguntungkan kaum bukan Melayu dan golongan ini menikmati lebih banyak peluang perubahan dan kemajuan dalam sistem kolonial yang masih tebal pengaruh dan kewibawaannya pada pra-Merdeka. Nilai ekonomi yang tinggi yang diberikan kepada pendidikan Inggeris bukan sahaja disebabkan peranan progresif sektor swasta yang mengutamakan penggunaan bahasa Inggeris dalam urus niaga dan perkhidmatan mereka tetapi disebabkan sokongan yang masih kuat yang diberikan oleh kerajaan dan masyarakat elit di negara ini bagi mengekalkan sistem pendidikan bahasa Inggeris. Beberapa Dasar Pendidikan telah diperkenalkan melalui Penyata Rahman Talib (1956), Penyata Razak (1960), Laporan Kabinet (1970). Kedua-dua penyata, iaitu Rahman Talib dan Razak mengemukakan sistem pendidikan ke arah membentuk pembangunan bangsa Malaysia yang selaras dengan wawasan kebangsaan.
           Sebagai contoh, sejak perkembangan perusahan getah dari permulaan abad ke 20, pihak British memerlukan tenaga kerja yang tetap. Jadi sejak 1905, sekolah-sekolah Tamil disediakan di estet-estet agar tenaga buruh bagi estet getah terjamin.Justeru itu, pihak British mendapat tenaga kerja yang tetap dan murah. Oleh kerana sekolah Tamil pada masa itu serba kekurangan dari pelbagai segi kemudahan dan tenaga pengajar, peluang bagi kaum India yang berkerja di estet untuk mendapat pekerjaan lain amat terbatas.Pendidikan Cina juga dikuasai oleh pihak penjajah bagi tujuan memenuhi keperluan tenaga kerja mereka. Dengan perkembangan ekonomi colonial di Semenanjung Malaysia pada awal kurun ke 20, sekolah-sekolah Cina juga turut berkembang.Sekolah-sekolah Cina dipengaruhi oleh fahaman Cina yang mengagung-agungkan pendidikan dan budaya Cina tradisional.Dengan ini, pihak pemerintah British pada masa itu telah berjaya memisahkan rakyat mengikut kaum atau etnik masing-masing. Jelas bahwa pengenalan kaum dengan peranan ekonomi yang merupakan masalah besar di Malaysia kini adalah akibat sistem sosioekonomi penjajah.

        Sikap memandang rendah terhadap nilai dan budaya pendidikan Melayu mendorongkan kaum lain, termasuk sebilangan elit Melayu menyokong kuat kewujudan institusi pendidikan swasta yang menggunakan bahasa Inggeris dalam sistem dan kurikulum pendidikan yang dirangka oleh mereka. Pendidikan selepas pra-merdeka masih dicengkam oleh bibit perpecahan dan pengasingan dengan wujudnya sekolah berasaskan kepada kepentingan budaya etnik dan bertunjangkan kepada negara-negara asal kaum pendatang khususnya dari Benua India dan Tanah Besar Cina. Tidak kurang pentingnya pengaruh budaya daripada Timur Tengah dan Arab juga membawa bibit perpecahan di kalangan masyarakat Melayu dengan wujudnya aliran pendidikan Arab di samping dua aliran lain iaitu Melayu dan Inggeris. Pendidikan dan persekolahan menanamkan ideologi politik dan ideologi sosial yang berbeza yang menjadikan masalah perpecahan begitu meruncing.
        Kesimpulannya, sebenarnya kewujudan sistem pendidikan dalam zaman Inggeris ini telah mewujudkan polarisasi di Tanah Melayu.Penubuhan sekolah-sekolah vernakular yang berasaskan kepentingan kaum masing-masing ini telah membawa pemisahan yang sangat ketara antara penduduk di Tanah Melayu.Sistem pendidikan yang bersifat perkauman yang kuat ini menyebabkan polarisasi di Tanah Melayu begitu ketara sekali.Hal ini kerana, dasar-dasar British yang memerintah Tanah Melayu telah mendorong lagi suasana polarisasi ini.Faktor seperti politik, ekonomi, sosiobudaya dan agama pula telah merangsang lagi isu polarisasi di Tanah Melayu khususnya di sebabkan oleh sistem pendidikan British yang telah di amalkan.


Comments

Popular posts from this blog

Sejarah Perkembangan Pendidikan di Malaysia

Pembangunan Sukan Paralimpik Di Malaysia