Pensejarahan Malaysia: Konsep Kesetiaan Semasa Zaman Kesultanan Melayu Melaka

1.0 Pendahuluan

Sejarah Melayu karya Tun Sri Lanang memaparkan tentang sejarah Kesultanan Melayu Melaka yang agung pada satu ketika dahulu. Sejarah Melayu yang juga dikenali sebagai Sulalatus Salatin ini merupakan sumber utama untuk rujukan bagi mengkaji pelbagai aspek pensejarahan Melaka termasuklah konsep kesetiaan mutlak rakyat kepada sultan Melaka.Konsep kesetiaan ini wujud kerana masyarakat pada ketika itu menganggap raja ataupun sultan sebagai kuasa tertinggi dalam pemerintahan serta dianggap sebagai wakil Tuhan di atas bumi ini.Konsep kesetiaan mutlak ini wujud daripada perjanjian antara Demang Lebar Daun dan Seri Teri Buana ketika permulaan pensejarahan tentang kewujudan asal-usul atau salasilah keturunan sultan di Nusantara.
            Konsep taat setia ini masih diamalkan oleh masyarakat Malaysia pada masa kini.Konsep kesetiaan dan ketaatan ini merupakan kesinambungan daripada amalan masyarakat terdahulu terhadap sultan mereka.Sejarah bermulanya konsep kesetiaan mutlak dan derhaka ini dapat dilihat dalam karya Sejarah Melayu yang menceritakan tentang asal-usul amalan taat dan setia kepada raja.Dalam Sejarah Melayu juga disebut tentang tanggungjawab raja terhadap rakyatnya dan konsep derhaka serta hukuman apabila seseorang itu derhaka kepada raja.Dalam perbincangan ini, saya akan cuba mengupas tentang geologi asas atau etika politik yang ingin diterapkan oleh Tun Sri Lanang iaitu pengarang Sejarah Melayu terhadap konsep kesetiaan mutlak dan mengelakkan rakyat daripada melakukan perbuatan derhaka.

 2.0 Maksud Kesetiaan
Taat setia, dalam konteks Sulalatus Salatin ataupun Sejarah Melayu, bermaksud setiap hamba Melayu harus patuh terhadap raja atas sifatnya sebagai pemimpin dan keyakinan bahawa raja mempunyai daulat. Sikap taat setia hamba Melayu kepada raja menjadikan mereka senantiasa menghormati raja, khususnya institusi raja, serta bersedia untuk menjunjung dan mematuhi titah dan perintah raja. Hamba Melayu yang taat setia kepada raja bersedia untuk melakukan apa-apa sahaja demi memuliakan kedudukan raja serta untuk memelihara keselamatan raja walaupun terpaksa menggadaikan nyawa dan harta benda mereka. Pada masa yang sama, sifat taat setia dapat mencegah hamba Melayu daripada menyanggah dan melanggar suruhan raja sebagaimana yang ditegaskan oleh Bendahara Paduka Raja Tun Perak sebelum beliau menghembuskan nafasnya yang terakhir:
... raja itu umpama ganti Allah dalam dunia, kerana ia zillu'llah fil'alam. Apabila berbuat kebaktian kepada raja, serasa berbuat kebaktian kepada nabi Allah, serasa berbuat kebaktian kepada Allah Taala ...(hlm. 190)
           Konsep ketaatan mutlak dan konsep derhaka ini diasaskan oleh satu perjanjian antara Seri Teri Buana dengan Demang Lebar daun yang berbunyi:
… maka sembah Demang Lebar Daun.” Adapun Tuanku segala anak cucu patik akan sedia jadi hamba ke bawah Duli Yang Dipertuan; hendaklah ia diperbaiki oleh anak cucu Tuanku.Dan jika ia berdosa, sebesar-besar dosanya pun jangan difadhihatkan, dinista dengan kata-kata yang jahat; jikalau besar dosanya dibunuh, itupun jikalau berlaku pada hukum Syarak.”
      Maka titah Sang Sepurba, “akan pinta bapa itu hamba kabulkanlah, tetapi hamba minta satu janji pada bapa hamba.”…” Hendaklah pada pada hari akhir zaman kelak anak cucu bapa hamba jangan durhaka pada anak cucu kita, jikalau ia zalim dan jahat sekalipun.”…
          Dialog tersebut merupakan asas perjanjian yang telah mengikat taat setia rakyat kepada rajanya dan tanggungjawab raja kepada rakyatnya1. Bermula daripada ketika itu, maka perjanjian ini telah dipraktikan dan dipatuhi oleh semua golongan rakyat dan masih diamalkan dan dikekalkan sehingga ke hari ini.Perjanjian ini juga telah membolehkan raja pada masa itu mendapat kuasa tertinggi dalam sesebuah negeri dan kekuasaannya tidak boleh dipertikaikan oleh mana-mana pihak.Demang Lebar Daun pada ketika itu ialah raja Palembang dan walaupun baginda juga bergelar raja, namun Sang Sepurba dilihatnya lebih besar dan berkuasa tarafnya kerana baginda daripada keturunan Iskandar Zulkarnian.Sang Sepurba telah mengambil kelebihan ini untuk menuntut taat setia daripada rakyat supaya kekuasaannya terus terpelihara sehingga keturunan baginda memerintah juga.
            Dalam perjanjian itu juga, Sang Sepurba telah meletakkan syarat sebagai balasan terhadap permintaan Demang Lebar Daun iaitu, meminta agar keturunan Demang Lebar Daun yang mewakili rakyat tidak akan menderhaka kepada keturunan Sang Sepurba yang mewakili raja walaupun raja itu jahat dan zalim sekalipun terhadap rakyatnya.Hal ini bertujuan untuk menjamin keturunan Sang Sepurba akan berkuasa sehingga selama-lamanya dan menjamin kedudukan mereka sebagai pemerintah.Perkara ini juga telah membolehkan Sang Sepurba dan keturunannya tidak akan mendapat tentangan daripada rakyat walaupun raja tersebut zalim dan tidak menjalankan tanggungjawabnya.2 Perjanjian ini telah memberi ruang kepada raja untuk berkuasa mutlak sepenuhnya dan segala tindakannya tidak boleh dipertikaikan oleh rakyat.Perkara ini juga merupakan satu kelebihan yang diperoleh oleh golongan raja dalam perjanjian tersebut dan rakyat pula hendaklah patuh dan taat kepada semua perintah raja demi untuk memastikan perjanjian tersebut ditepati.
            Perjanjian tersebut dipersetujui oleh kedua-dua pihak dan bersumpah barang siapa yang melanggar perjanjian tersebut dibalikkan Allah bumbungnya ke bawah dan kaki tiangnya ke atas. Hamba Melayu yang tidak menuruti perintah raja atau melakukan penentangan serta pengkhianatan terhadap raja tergolong sebagai penderhaka. Penderhakaan terhadap raja merupakan suatu kesalahan yang amat besar dan jika ada hamba Melayu yang melakukan perkara yang sedemikian, mereka bakal berdepan dengan musibah dan tulah.Tanggungjawab raja-raja Melayu adalah tidak akan mengaibkan hamba Melayu sekalipun besar dosanya dan tidak diikat atau digantungkan dengan kata yang jahat dan jika seseorang raja itu melanggar perjanjian tersebut maka negerinya akan binasa.3 Rakyat pula hendaklah menumpukan segala taat setia kepada raja walaupun raja tersebut jahat dan zalim kepada rakyatnya.Namun begitu, perjanjian ini boleh berubah sekiranya pihak raja yang terlebih dahulu mengubahnya seperti yang dinyatakan:
“…baiklah Tuanku.Tetapi jikalau anak buah Tuanku dahulu yang mengubahkan dia, maka anak cucu patik pun akan mengubahkanlah…”
             Konsep kesetiaan mutlak tersebut telah memberikan kesan yang mendalam kepada rakyat pada masa itu.Selepas perjanjian itu termeterai, orang-orang Melayu amat setia dan takut menderhaka kepada raja mereka.Hal ini demikian kerana mereka telah terikat dengan konsep derhaka dan akibatnya sekiranya mereka tidak taat kepada raja.Oleh itu, masyarakat pada masa itu telah menerima dan mematuhi konsep tersebut.Konsep ini juga telah membawa kepada konsep daulat seseorang raja dan kerajaannya.Apabila rakyat setia dan mengakui kewibawaan raja mereka maka raja dan kerajaan yang diperintah dianggap berdaulat.Namun begitu, konsep kesetiaan mutlak yang dipraktikan pada masa ini hanya kepada golongan raja sahaja dan tidak ditekankan kesetiaan kepada negara seperti yang diamalkan pada masa kini.Hal ini demikian kerana belum ada kesedaran yang mendalam tentang kesetiaan kepada negara dalam kalangan masyarakat kerana mereka sudah menganggap kedudukan raja atau sultan adalah yang paling tinggi dan berkuasa melindungi negara, kerajaan dan rakyat.

3.0 Peristiwa- Peristiwa Yang Menggambarkan Kesetiaan Rakyat
Maksud konsep kesetiaan mutlak telah dibincangkan dan dalam teks Sejarah Melayu ini, terdapat banyak peristiwa yang menceritakan tentang bagaimana kesetiaan itu ditunjukkan oleh rakyat pada ketika itu.Peristiwa-peristiwa tersebut juga menunjukkan sejauh mana konsep kesetiaan ini mempengaruhi kehidupan masyarakat Melayu, terutamanya para pembesar yang sering berhadapan dengan raja yang menjadi pembantu raja dalam urusan kerajaan.Selain itu, terdapat juga peristiwa yang menceritakan usaha untuk menentang raja yang dikatakan zalim ataupun menderhaka kepada raja dengan tujuan tertentu.Berikut merupakan beberapa peristiwa yang berlaku dalam Sejarah Melayu yang boleh menggambarkan kesetiaan orang-orang Melayu.

3.1 Kesetiaan Hang Tuah.
Hang Tuah ialah salah seorang laksamana dalam kesultanan Melayu Melaka. Nama asal beliau ialah Daeng Mempawah dan beliau dikatakan berasal dari Makasar. Berdasarkan teks Sejarah Melayu  ini, beliau dapatlah dikatakan salah seorang hamba Melayu yang memperlihatkan sifat taat setia yang tidak berbelah bahagi terhadap raja.Dalam hal ini, sifat taat setia itu terserlah semasa beliau dijatuhi hukuman bunuh oleh Sultan Mansur Syah atas tuduhan yang belum dibuktikan kebenarannya.4 Beliau langsung tidak menentang hukuman tersebut sebaliknya menerimanya dengan penuh taat.Walau bagaimanapun, beliau bernasib baik kerana hukuman itu tidak dilaksanakan oleh Seri Nara Diraja yang lebih rasional daripada baginda sultan dan berpandangan jauh pula.Apabila Hang Jebat menimbulkan keadaan huru-hara di Melaka, Hang Tuah telah dipanggil semula oleh Sultan Mansur.
           Hang Tuah tidak menggunakan kesempatan itu untuk membalas dendam terhadap penganiayaan baginda, sebaliknya dengan berbekalkan sikap taat setianya, beliau bersedia untuk membunuh Hang Jebat yang merupakan sahabat karibnya. Hal ini demikian kerana, Sultan Melaka pada masa itu mempunyai kuasa dan kedudukan yang tinggi dalam pemerintahan.Bagi Hang Tuah, kesetiaan kepada sultan adalah lebih penting dan utama daripada ikatan kekeluargaan dan hubungan persahabatan yang akrab. Hang Tuah juga sanggup membunuh Hang Jebat kerana ingin berjasa kepada baginda dan berharap agar dengan jasanya itu, sultan akan menarik balik hukuman bunuh yang dijatuhkan sebelum ini.Begitu juga, demi kesetiaannya, beliau sanggup menyelamatkan kuda baginda sultan yang telah masuk ke dalam kolam najis setelah tiada seorang hamba pun sanggup untuk melakukannya.
            Dalam peristiwa ini, Hang Tuah yang memegang jawatan sebagai Laksamana Melaka pada masa itu difitnah dan tanpa usul periksa, Sultan Mansur Shah menjatuhkan hukuman mati terhadap beliau.Untuk menunjukkan beliau tidak mahu menderhaka kepada sultan, Hang Tuah dengan rela menerima hukuman ini dan tidak melawan sedikitpun walaupun dia tahu beliau  tidak bersalah.Tindakan Hang Tuah tidak melawan perintah sultan tersebut merupakan contoh kesetiaan yang tinggi terhadap sultan kerana beliau sanggup berkorban walaupun tidak bersalah daripada dianggap sebagai penderhaka.Setelah rakan baiknya iaitu Hang Jebat mengetahui hal ini, maka beliau pun bangkit untuk menentang sultan yang dianggap zalim kerana menghukum orang tanpa mengetahui benar-benar bersalah atau tidak.Hang Jebat pada masa itu tidak memikirkan tentang konsep derhaka dan bertindak mengikut emosi yang marah menyebabkan beliau sanggup menderhaka kepada Sultan Mansur Syah.
           Tidakan yang dilakukan oleh Hang Jebat ini merupakan satu contoh peristiwa penderhakaan terhadap sultan apabila beliau mengamuk di istana, membunuh dan mencuba untuk membunuh Sultan Mansur Shah kerana tidak puas hati dengan tindakan baginda.Tindakan Hang Jebat ini telah melanggar perjanjian yang dibuat oleh Demang Lebar Daun dan Sang Sapurba pada masa dahulu yang mengatakan walaupun sejahat mana dan sezalim mana sekalipun sultan itu, rakyat mesti taat setia kepadanya.Kezaliman yang dilakukan oleh Sultan Mansur menimbulkan rasa tidak puas hati dalam dirinya dan merasakan tindakan sultan itu menganiaya dan tidak menjalankan tanggungjawabnya menjaga rakyat dengan baik.
            Selain itu, Seri Nara Diraja yang ditugaskan untuk membunuh Hang Tuah juga telah menderhaka kepada sultan apabila beliau tidak membunuh Hang Tuah seperti mana yang diarahkan oleh sultan.Sebaliknya, beliau menyembunyikan Hang Tuah di Hulu Melaka kerana beliau juga merasakan Sultan Mansur telah menzalimi Hang Tuah.5 Fikiran Seri Nara Diraja yang rasional telah membuatkan beliau berani mengingkari titah sultan yang akhirnya membawa kepada kebaikan apabila keadaan huru-hara yang dicetuskan oleh Hang Jebat dapat diatasi dengan kehadiran Hang Tuah.Tidak mematuhi perintah sultan merupakan satu penderhakaan dan melambangkan ketidaktaatkan kepada sultan.Jika Sultan Mansur Shah mengetahui hal ini dari awal, Seri Nara Diraja juga pasti akan dihukum oleh sultan.Namun begitu, Seri Nara Diraja terlepas daripada hukuman kerana berjaya membawa balik Hang Tuah untuk membunuh Hang Jebat yang tidak dapat dikalahkan oleh sesiapa pun.Sultan Mansur Shah akhirnya tidak menghukum Hang Tuah dan Seri Nara Diraja kerana rasa terhutang budi apabila mereka menyelamatkan sultan daripada ancaman Hang Jebat dan memulihkan kembali keadaan yang huru hara.
            Sementara itu, mengikut konsep derhaka, seseorang yang derhaka kepada raja itu akan terkena tulah.Tindakan derhaka yang dilakukan oleh Hang Jebat menyebabkan dia dibunuh oleh rakan karibnya sendiri iaitu Hang Tuah.Walaupun pada masa itu Hang Jebat memilika keris Taming Sari yang membuatkan beliau kebal, namun akhirnya dapat ditewaskan apabila Hang Tuah berjaya mendapatkan keris tersebut.Kematian di tangan rakan karib sendiri merupakan balasan ataupun tulah yang diterima oleh Hang Jebat di atas penderhakaannya terhadap sultan yang zalim walaupun niatnya adalah untuk menegakkan kebenaran dan membela nasib Hang Tuah yang dizalimi.


 3.2 Kesetiaan Bendahara Paduka Raja Tun Perak
Bendahara Paduka Raja ialah gelaran yang diberikan kepada Tun Perak setelah beliau menjadi bendahara Melaka. Pada suatu hari, anak beliau yang bernama Tun Besar telah dibunuh oleh Raja Muhammad, putera Sultan Mansur dan bakal raja Melaka, hanya disebabkan oleh bola raga yang disepak oleh Tun Besar terkena pada destar baginda.  Peristiwa pembunuhan tersebut telah menerbitkan kemarahan dalam kalangan pengikut Bendahara Paduka Raja. Mereka telah keluar berhimpun seraya menghunus senjata masing-masing untuk menuntut beta kematian Tun Besar. Walau bagaimanapun, atas kesedaran bahawa "istiadat hamba Melayu tiada pernah derhaka", Tun Perak telah melarang mereka daripada membunuh Raja Muhammad sebaliknya telah bertindak bijak dengan menyarankan supaya "anak raja seorang ini, janganlah kita pertuankan".6 Dengan menyingkirkan Raja Muhammad dari Melaka, Tun Perak telah menyelamatkan anak raja itu daripada maut. Yang lebih penting, hamba Melayu telah dapat mempertahankan ketaatan dan kesetiaan mereka sebagaimana yang ditetapkan oleh Seri Teri Buana dalam waadnya dengan Demang Lebar Daun, iaitu: "Hendaklah oleh segala anak cucu hamba, jikalau ada salahnya sekalipun, atau zalim jahat pekertinya, jangan segala hamba Melayu itu derhaka dan menitikkan darahnya ke bumi ".
          Tun Perak sedar bahawa walaupun sultan itu bersalah dan sezalim mana pun, rakyat tidak boleh mempersoalkan kedudukan dan kedaulatan raja.Rakyat dan pembesar harus menumpukan seluruh taat setia kepada raja daripada kepentingan diri sendiri.Tun Perak sedar bahawa beliau dan pengikutnya tidak boleh membunuh raja sama sekali walaupun sultan tidak membuat keputusan yang adil.Dalam hal ini, Tun Perak menunjukkan kebijaksanaannya apabila beliau memilih untuk tidak menderhaka seperti yang dilakukan oleh Hang Jebat serta tidak mahu pertumpahan darah berlaku.Beliau sedar tentang kedudukan dan pengaruhnya sebagai Bendahara dan orang yang paling dipercayai oleh sultan boleh digunakan untuk membalas kematian anaknya tanpa menunjukkan bahawa tindakan beliau itu sebagai penderhakaan.
          Selain itu, Bendahara Tun Perak sekali lagi menunjukkan kewibawaan dan kebijakan beliau dalam membuat tindakan.Beliau telah menyelamatkan nyawa Raja Muhammad daripada dibunuh oleh pengikutnya tetapi beliau tidak mahu putera Sultan Mansur Shah itu menjadi sultan Melaka.Dengan menggunakan kuasanya sebagai pelantik raja, beliau telah meminta agar Raja Muhammad dirajakan di Pahang dan bukannya di Melaka.7 Hal ini demikian kerana Tun Perak tidak mahu berkhidmat di bawah sultan yang telah membunuh anaknya dan juga merupakan cara halus yang digunakan oleh Tun Perak untuk membalas kematian anaknya.Namun begitu, Tun Perak merupakan tokoh penting yang benar-benar berjaya mematuhi perjanjian tentang konsep kesetiaan mutlak kerana sanggup untuk tidak menuntut belas di atas kematian anaknya.Hal ini juga membuktikan bahawa Tun Perak merupakan ikon atau teladan pemimpin yang paling setia kepada sultannya sepanjang perkhidmatannya sebagai bendahara Melaka.Jasa-jasa Tun Perak juga telah banyak membantu memajukan dan membangunkan Melaka yang menjadikan Melaka sebagai empayar yang hebat pada zaman itu.
            Pada masa ini juga, Tun Perak yang mewakili masyarakat mula mempertikaikan keadilan daripada tindakan sultan yang bertindak menghukum tanpa usul periksa.Jati diri masyarakat sudah mula terbina dan menolak pemerintah yang tidak adil.Contohnya, tindakan Tun Perak merajakan Raja Muhammad di Pahang menunjukkan bahawa beliau sudah nampak dan menjangka apa yang berlaku pada masa hadapan sekiranya Raja Muhammad terus dirajakan di Melaka. Jati diri Tun Perak dalam peristiwa ini ialah menolak ketidakadilan yang berlaku dalam pemerintahan, tetapi pada masa yang sama kesedaran tentang pentingnya kesetiaan kepada raja tidak dilupakan.Tindakan yang dilakukan oleh Tun Perak juga adalah untuk mendamaikan masyarakat dengan raja untuk menjaga institusi pemerintahan sedia ada.


 3.3 Kesetiaan Bendahara Seri Maharaja
Bendahara Seri Maharaja Tun Mutahir adalah bapa saudara kepada Sultan Mahmud Syah, Sultan terakhir kerajaan Melaka sebelum jatuh ke tangan Portugis. Tun Mutahir menjadi bendahara Melaka selepas kematian Bendahara Putih.Pada penghujung penguasaannya sebagai bendahara Melaka, beliau kurang disenangi oleh Sultan Mahmud kerana Bendahara Seri Maharaja tidak memper­sembahkan anaknya, Tun Fatimah yang rupawan, kepada baginda. Malah, Tun Mutahir mengahwinkan pula anaknya itu dengan Tun Ali. Oleh itu, apabila Kitul, Raja Mendaliar, dan Laksamana Khoja Hassan yang menginkan kuasa menfitnah bahawa Tun Mutahir hendak merampas kuasa, dan tanpa usul periksa, Sultan Mahmud Syah yang mendendami bendahara itu, telah menjatuhkan hukuman bunuh terhadap beliau sekeluarga.8
          Hukuman itu membangkitkan kemarahan kaum keluarga dan pengikut Tun Mutahir. Mereka telah datang berkumpul dan bersedia untuk menentang sultan. Walau bagaimanapun, Tun Mutahir telah mengingatkan mereka bahawa masyarakat Melayu telah diikat dengan kesetiaan  dan tidak akan derhaka walapun sezalim manapun raja itu. Perkara ini menunjukkan bahawa jati diri Tun Mutahir masih berpegang teguh kepada konsep kesetiaan mutlak. Beliau juga lebih rela dihukum bunuh bersama ahli keluarganya daripada derhaka kepada Sultan Mahmud walaupun mengetahui bahawa merka tidak bersalah.Malah, kesetiaan beliau terhadap sultan Melaka begitu terserlah semasa Tun Sura Diraja dan Tun Indera Segara hendak membunuhnya.Beliau dengan tenang merelakan hukuman itu sebagaimana katanya: "Barang yang telah berlaku pada hukum Allah itu, hamba pun redalah".9 Kesan perjanjian Demang Lebar Daun dan Sang Sepurba ini telah begitu mendalam dan sebati dengan diri Tun Mutahir sehingga sanggup dihukum tanpa bersalah dan tiada usul periksa kerana tidak mahu dianggap sebagai penderhaka.
         Peristiwa ini merupakan kemuncak kepada konsep kesetiaan mutlak yang diamalkan di Melaka pada ketika itu.Kelemahan pemerintahan Sultan Mahmud Syah telah menyebabkan pembesar-pembesar Melaka sudah mula mencari kesempatan untuk mendapatkan kuasa masing-masing.Mereka sudah tidak begitu menunjukkan taat setia kepada sultan kerana melihat kelemahan sultan yang lebih berminat kepada perkara lain daripada memerintah Melaka.Jati diri pembesar Melaka seperti Raja Mendaliar dan Laksamana Khoja Hassan sudah beralih kepada perebutan kuasa dan kebendaan dan tidak lagi menumpukan taat setia kepada Sultan Mahmud.
         Selain itu, kehadiran penglibatan orang asing dalam sistem pemerintahan Melaka juga menjadi salah satu faktor penyebab kesetiaan kepada sultan tidak lagi mendalam.Buktinya ialah, Raja Mandeliar dan Laksamana Khoja Hassan dilantik memegang jawatan dalam pemerintahan Melaka sedangkan mereka bukan penduduk asal di Melaka.Sudah tentulah kesetiaan mereka masih lagi terarah kepada pemerintah di negara asal mereka.Mereka hanya berminat untuk mendapatkan kuasa pemerintahan daripada setia kepada Sultan Mahmud.Kedatangan kuasa luar iaitu Portugis di Melaka pada waktu itu telah membuka fikiran masyarakat Melaka bahawa ada negara lain yang lebih hebat daripada Melaka. Ini menyebabkan keyakinan mereka terhadap keupayaan pemerintah Melaka tidak lagi begitu kuat.Buktinya ialah penderhakaan Si Kitul yang memberitahu rahsiah pertahanan Melaka kepada tentera Portugis menyebabkan Melaka dapat ditawan dengan mudah oleh Portugis.
           Kematian Tun Mutahir menyebabkan Melaka kehilangan seorang pemimpin yang beribawa.Pemerintahan Sultan Mahmud yang pincang telah menyebabkan banyak pergolakan dan perebutan takhta berlaku di istana yang akhirnya membawa kepada kemerosotan dan kejatuhan Melaka.Sang Sepurba telah berjanji tidak akan mengaibkan atau menggantungkan kata-kata yang jahat dalam perjanjiannya dengan Demang Lebar Daun tetapi Sultan Mahmud sebagai sultan Melaka telah melanggar perjanjian tersebut.Sekiranya pihak sultan yang melanggar perjanjian tersebut maka akan binasalah negeri tersebut4  perkara ini terjadi terhadap kerajaan Melaka apabila jatuh ke tangan Portugis yang menandakan berakhirlah kegemilangan Melaka sebagai empayar yang masyur di Nusantara pada ketika itu.

4.0 Penutup
         Konsep kesetiaan mutlak terhadap sultan memang diamalkan oleh masyarakat Melaka. Perjanjia antara Seri Teri Buana dan Demang Lebar Daun telah memberi kesan yang mendalam dalam diri rakyat Melaka dan konsep taat dan setia masih diamalkan oleh rakyat Malaysia sehingga sekarang.Kesetiaan yang mereka tunjukkan memang tidak berbelah bahagi akan melakukan apa sahaja perintah sultan kerana bagi mereka, sultan merupakan pelindung institusi masyarakat dan negara pada ketika itu.Walaubagaimanapun, konsep kesetiaan ini dilihat tercabar apabila Hang Jebat menderhaka kepada Sultan Mansur Syah.Peristiwa ini dilihat penting kerana telah muncul golongan yang mempersoalkan keadilan daripada tindakan sultan yang dikatakan menghukum tanpa usul periksa.
          Namun begitu, konsep kesetiaan ini masih terus bertahan walaupun terdapat sedikit tentangan daripada segelintir masyarakat pada ketika itu. Tun Perak telah memainkan peranan penting untuk mendamaikan institusi pemerintah dengan rakyat walaupun beliau sendiri tidak berpuas hati dengan kematian anaknya.Kesimpulannya, konsep kesetiaan mutlak ini memang wujud dan diamalkan oleh masyarakat di Melaka pada ketika itu.Walaupun terdapat sedikit penentangan dan penderhakaan yang berlaku, namun konsep ini terus bertahan dan menjadi jati diri masyarakat Melaka.




Comments

Post a Comment

Popular posts from this blog

Sejarah Perkembangan Pendidikan di Malaysia

Pembangunan Sukan Paralimpik Di Malaysia